KUALA LUMPUR – Sungguh pelik sekali apabila begitu ‘pantas’ Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PK) tampil mempersoalkan apakah jenis tindakan akan diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin kerana memakai pelindung muka tanpa pelitup muka.
Walhal pada masa sama, tidak ada sesiapa dalam kalangan pembangkang termasuk Fahmi menyoal atau mengeluarkan kenyataan terhadap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran (PKR) yang didakwa melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) Covid-19 di rumah.
Hakikatnya, sebelum itu, Prabakaran sendiri telah disahkan menjadi kontak rapat kepada abangnya yang positif Covid-19 dan sepatutnya mengkuarantin diri namun telah hadir ke Parlimen berbahas serta mengundi Belanjawan 2021 pada Khamis lepas.
Bercakap dengan MalaysiaGazette sebentar tadi, Ahli Parlimen Segamat (PH) merangkap Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, dirinya langsung tidak terkejut dengan tindak-tanduk pembangkang cuba mengalih perhatian ‘kesalahan’ dilakukan mereka.
Malah kata beliau, kesalahan yang dilakukan oleh Prabakaran cukup besar dan membahayakan nyawa wakil rakyat lain hadir ke Parlimen pada hari itu.
Azhar nasihat Ahli Parlimen buat laporan jika Prabakaran langgar HSO
“Bagaimana Fahmi dengan cepat menegur Zuraida tanpa menegur Prabakaran yang juga didakwa melakukan kesalahan melanggar kuarantin?
“Saya hendak minta Fahmi untuk jawab soalan-soalan ini, ini bukan persoalan yang saya sahaja timbulkan sebaliknya secara umumnya semua hendak tahu juga.
“Apakah benar dakwaan Prabakaran telah diberikan HSO sebelum jam 11 pagi pada 10 Oktober (Khamis) lepas? Adakah Prabakaran faham maksud diletakkan bawah HSO?
“Adakah Prabakaran memakai gelang HSO? Jika ada, manakah gelang itu? Adakah beliau masuk ke dalam Parlimen menyertai sesi bahas kemudian mengundi dengan gelang itu ditangan pada jam 2.30 ketika perbahasan Belanjawan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia?
“Kalau ada, bukankah Prabakaran mahupun Fahmi sedia maklum pelanggaran ini sama seriusnya dengan kes Sivagangga yang didenda dengan RM8,000, selain di penjara?
“Saya mohon sangat kepada Fahmi untuk jawab soalan-soalan saya ini sebelum bertanya itu dan ini kepada pihak lain, untuk makluman juga Prabakaran adalah Ketua Angkatan Keadilan Wilayah Persekutuan PKR,” katanya sebentar tadi.
Semalam, Fahmi melalui akaun Twitternya bertanya adakah Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang akan dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka sebaliknya hanya pelindung muka.
Fahmi turut menanda nama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam ciapan tersebut.
Ciapan itu kemudian dibalas oleh Zuraida yang mendedahkan dirinya tidak melanggar undang-undang kerana itu bukan kawasan zon merah.
Jelas Santhara lagi, pertanyaan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai tindakan patut diambil terhadap Prabakaran hanya dipandang sepi oleh pembangkang.
“Ketika Dewan didedahkan dengan kesalahan serius oleh Prabakaran, tidak ada seorang pun wakil pembangkang yang begitu lantang menyoal.
Malah Ketua Pembangkang sendiri sehingga tidak melakukan apa-apa kenyataan mahupun teguran.
“Jangan hipokrit sehingga tahap ini sekali, sungguh memalukan. Apa yang dilakukan oleh Prabakaran itu memang serius dan kesnya sama seperti kes Sivagangga yang pernah menggegarkan negara beberapa bulan lepas.
“Ketika itu pandai pula pembangkang ini bercakap serta menuding jari, kini jawablah soalan yang kita tanya ini, jangan cuba alih isu. Salah tetap salah. Ianya juga dilakukan oleh ahli parti kamu sendiri.
“Sebelum cari kesalahan pihak lain, sebelum jadi jaguh di mata rakyat, cermin dulu diri kamu. Jangan cuba perbodohkan umum seperti ini, jika pembangkang salah semuanya kebal undang-undang, adakah begitu?,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Prabakaran jaguh desak Khairuddin letak jawatan, diam bila kena diri sendiri
”Hebat juga Prabakaran sehingga Ketua pembangkang dan ahli politik veteran takut untuk menegur beliau.
“Sebelum ini Prabakaran juga antara wakil pembangkang yang kuat mendesak Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali meletakkan jawatan menteri kerana melanggar kuarantin Covid-19?
“Ketika itu juga ramai pembangkang yang hebat-hebat seperti Lim Kit Siang menjerit siang malam tapi ketika Dewan Rakyat mendedahkan perbuatan Prabakaran, semua diam seribu bahasa.