Speaker Azhar Azizan Harun Parliament Dewan Rakyat Covid-19 positive
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menasihatkan ahli Dewan Rakyat supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya merasakan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran telah melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk menghadiri perbahasan di Parlimen minggu lalu.

Beliau menjelaskan, sebarang hukuman terhadap Ahli Parlimen yang didapati melanggar perintah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) berada di bawah bidang kuasa kementerian dan bukan daripada beliau.

Oleh kerana itu katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Prabakaran di atas sikapnya itu.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen (BN-Putrajaya), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila menanyakan kepada Azhar mengenai tingkah laku Prabakaran semasa perbahasan di peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 10 Disember lepas.

Perkara sama turut ditanyakan Ahli Parlimen (Bersatu-Segamat), Datuk Seri Santhara Kumar yang mengatakan Prabakaran telah menghadiri sesi tersebut setelah HSO diberikan dan meminta penjelasan mengenai apakah orang lain telah memilih menggantikan Ahli Parlimen Batu jika beliau tidak hadir.

“Sebenarnya, pada hari Khamis itu, saya dan Bentara Parlimen tidak sedar bahawa perkara itu terjadi. tapi selepas hari Khamis itu bila disemak senarai yang mengundi tu Yang Berhormat (Batu) mengundi.

“Seperti mana yang saya (nyatakan) pada masa lepas bahawa kuasa untuk menghukum atau mengkompaun sesiapa yang melanggar apa-apa perintah KKM atau MKN mengenai Covid-19 ini bukanlah di bawah kuasa saya. Maka saya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Namun, saya ingin nasihatkan kepada sesiapa yang mahu membawa perkara ini kepada yang lebih daripada itu maka buatlah laporan kepada pihak berwajib,” katanya menjawab pertanyaan tersebut.(BN

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau), Datuk Seri Shahidan Kassim kemudiannya meminta Prabakaran dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana membahayakan anggota Parlimen lain kerana pelanggaran tingkah laku.

“Kami tidak boleh memandang ringan perkara ini. Bagaimana jika tiba-tiba ada jangkitan di kalangan Ahli Parlimen?

“Dia membahayakan kita. Ini adalah pelanggaran tingkah laku yang luar biasa. Oleh itu, saya meminta Datuk Speaker untuk merujuknya ke jawatankuasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette