KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa untuk memberi kelulusan perniagaan kepada warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian itu juga sama sekali tidak akan teragak-agak untuk mengambil apa-apa tindakan tegas atas pihak berkenaan.

Itu termasuklah memanjangkan perbuatan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata beliau.

“Saya ingin beritahu dasar ditetapkan kerajaan sebelum ini sudah menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan, sama ada di tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang atau pasar tani berhampiran.

“Kita sudah menetapkan garis panduan yang jelas dalam hal ini, bahawa tidak akan ada kompromi jika pemegang lesen ‘sub let’ kepada warga asing.

“Jika kita mengesan perkara itu, mereka akan disenarai hitam dan lesen berkenaan dirampas serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan barangan makanan asas dan pelitup muka anjuran Zon dan Sub Zon Parlimen Cheras di sini hari ini.

Annuar Musa mengulas tindakan orang dalam yang sanggup bersubahat dengan peniaga warga asing bagi meluluskan lesen, sekali gus membolehkan golongan berkenaan meniaga berhampiran tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang serta pasar tani berdekatan.

Sebelum ini, media melaporkan segelintir warga asing berkenaan sanggup membayar sehingga RM3,000 bagi mendapat lesen yang diluluskan orang dalam yang mewakili persatuan perniagaan tertentu.

Dikatakan pihak itu dapat mengaut untung berganda dengan bayaran dikenakan adalah jauh lebih tinggi berbanding hanya lebih RM900 setahun yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama ini.

Jelas beliau lagi, perbuatan memberi lesen kepada warga asing bukan sekadar menyalahi undang-undang negara tetapi bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Lesen perniagaan hanya untuk rakyat tempatan dan masa memohon pun, mereka perlu menunjukkan bukti yang sahih sebagai warga negara. Ramai rakyat yang susah mendapat lesen walaupun hanya untuk perniagaan kecil-kecilan.

“Hakikatnya kita perlu konsisten dalam mendahulukan mereka dan seterusnya membela nasib golongan ini,” tegasnya.

Sambung Annuar lagi, pihaknya seringkali didekati oleh wakil persatuan yang hendak sedikit kelonggaran dalam peraturan sedia ada namun beliau tidak mampu berkompromi.

“Ada wakil persatuan datang bertemu saya baru-baru ini, merayu agar kelonggaran dalam isu lesen diberikan.

“Rayuan atas perkara sebegitu tidak akan diberi perhatian dan tindakan tegas perlu diambil jika terbukti ia telah disalah guna pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Warga asing mesti dihadkan permit kerja 3D jer dan bukannya guna nama bini tempatan untuk dapatkan lesen berniaga. Begitu juga lesen berniaga untuk pendatang cina keling perlu dihadkan ke 30% dan bukan sebaliknya memandangkan bukan pribumi kini memiliki majority besar ekonomi adalah amat memalukan hak keistimewaan Melayu di mata antarabangsa.

Comments are closed.