Seramai 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 154 orang disahkan positif Covid-19 semalam.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 2,018 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini dengan satu kematian.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia menghampiri enam angka iaitu sebanyak 95,327 kes dengan jumlah kes aktif pula sebanyak 16,466 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,011 kes,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selangor merekodkan kes harian tertinggi berjumlah 1,204 kes atau 59.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,115 kes (92.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ia diikuti oleh Johor sebanyak 278 kes (13.8 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 247 kes (12.2 peratus).

“Sebanyak 243 kes (12.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (234 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (6 kes), dan Kluster Tembok (3 kes).

“Sehingga kini, terdapat 109 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham.

Kes sembuh hari ini juga mencatatkan empat angka dengan 1,084 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 78,363 kes.

Disamping itu, satu kematian direkodkan hari ini melibatkan seorang bukan warganegara di Sabah.

Mangsa yang berusia 50 tahun itu meninggal dunia di Hospital Tuaran.

Jumlah kematian ekoran positif Covid-19 kini adalah pada paras 438 kes.

KKM juga turut memaklumkan terdapat lapan kluster baru yang dilaporkan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, kluster-kluster itu adalah Kluster Pekapuri di daerah Gombak melibatkan 202 kes, Kluster Batu Besar di daerah Klang melibatkan 59 kes, Kluster Tower juga di daerah Gombak yang menjangkiti 20 individu, Kluster Tapak Bina Pelangi di daerah Kepong melibatkan 23 kes, Kluster Wawasan di daerah Petaling dengan enam kes positif Covid-19.

Tiga lagi kluster adalah Kluster J Bandar di Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan 25 kes, Kluster Delima di Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Gombak dan Hulu Langat di Selangor melibatkan sembilan kes dan Kluster May Indah di lima daerah negeri Pulau Pinang dengan 27 kes. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.