Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

Sebagai seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam, nasihat Dr Zulkifli lagi.

”Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

”Tangkap layar rakaman video atau hantaran di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.

”Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

”Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana.

”Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai isu majlis perkahwinan antara seorang gadis, Illi Najwa Saddique dengan kapten pemain hoki India, Manpreet Singh Pawar di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab yang menimbulkan persoalan.

Bagaimanapun, beliau menambah, perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Ini kerana, pasangan yang bukan Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap dua Kalimah Syahadah dan mendaftarkan keislaman tersebut di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru.

Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan.

”Saya dimaklumkan hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor,” tambahnya sambil meminta semua berdoa agar pasangan tersebut dikurniakan Allah taufik dan hidayah. – MalaysiaGazette