Iklan maklumat kesihatan kerajaan Britain yang memaklumkan sekatan baharu ekoran penularan penyebaran penyakit Covid-19. foto Reuters

LONDON – Jiran-jiran Britain mula menutup pintu kepada pelancong dari United Kingdom (UK) pada hari Ahad susulan penularan strain baharu Covid-19 yang menyebabkan virus merebak dengan pantas di sana.

Perancis melarang semua penduduk dari UK selama 48 jam dari malam Ahad, termasuk kapal pengangkut barang, sama ada melalui jalan darat, udara, laut atau kereta api.

Jerman, Itali dan Belanda pula memerintahkan penangguhan penerbangan dari Britain, sementara Ireland juga akan mengenakan sekatan penerbangan dan feri dari negara jirannya.

Belgium akan menutup sempadan melalui penerbangan dan kereta api – termasuk perkhidmatan Eurostar bagi pengunjung yang datang dari United Kingdom.

“Varian Covid-19 yang baru-baru ini ditemui di London sangat membimbangkan dan perlu diselidiki oleh saintis kami.

“Sementara ini, kami memilih jalan berhati-hati yang maksimum,” kata Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan pada hari Sabtu bahawa strain baharu virus itu telah menyebabkan bilangan jangkitan meningkat.

Lantaran itu, kerajaan mengetatkan sekatan pergerakan di London dan kawasan berdekatan dan juga membatalkan rancangan untuk melonggarkan sekatan pergerakan sepanjang tempoh Krismas.

Sekatan perjalanan itu telah menimbulkan masalah bagi UK yang akan keluar dari Kesatuan Eropah pada 31 Disember setelah tempoh peralihan berakhir tahun ini.

London dan Brussels setakat ini gagal mencapai kesepakatan perdagangan pasca Brexit, meningkatkan prospek masalah pergerakan penghantaran barang.

Dalam pada itu, Kerajaan Jerman memberitahu semua penerbangan dari United Kingdom akan ditangguhkan mulai tengah malam.

“Mutasi virus belum dikenal pasti di Jerman, justeru kami memandang serius tentang kes Covid-19 dari Britain,” kata Menteri Kesihatan, Jens Spahn.

Perdana Menteri Belgium, Alexander de Croo mengatakan larangan perjalanan masuk dari Britain merangkumi perkhidmatan Eurostar melalui saluran terowong dan akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya 24 jam mulai tengah malam Ahad.

Kerajaan Itali turut menyekat penerbangan yang berlepas dari Britain dan melarang sesiapa sahaja yang telah transit ke UK dalam 14 hari lalu daripada negara berkenaan.

Belanda melarang penerbangan yang membawa penumpang dari UK mulai hari Ahad dan larangan itu dikuatkuasakan sehingga 1 Januari. – MalaysiaGazette