Oleh Yusof Ghani
MUHAMMAD Syahmin Abdul Aziz, 20 tahun, merupakan anak harapan keluarganya. Sejurus menamatkan peperiksaan SPM dengan keputusan yang cemerlang, beliau diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan.
Namun begitu, takdir tidak menyebelahi masa depannya. Pada suatu hari semasa bercuti, pemuda yang berasal dari Kota Bharu ini keluar dengan menaiki motosikal untuk membeli barang yang dipesan oleh ibunya di kedai yang berhampiran.
Semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat, Muhammad Syahmin telah dilanggar dari belakang oleh seorang remaja berusia 14 tahun yang menunggang motosikal secara melulu dan tidak menghiraukan tanda isyarat lampu merah. Muhammad Syahmin tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan serius pada kepala .
Kecederaan pada kepalanya (kemungkinan pada otaknya) menyebabkan anak muda ini terlantar koma. Menurut ibunya, Muhammad Syahmin lansung tidak memberikan tindakbalas sejak setahun dalam keadaan tersebut.
Hayat beliau hanya bergantung susu yang dimasukkan melalui tiub pada hidungnya. Ibunya pula terpaksa memberikan sepenuh perhatian kepada Muhamad Syahmin dan tidak dapat melakukan apa-apa sejak anaknya berada dalam keadaan tersebut.
Malahan, kos untuk menjaga pesakit yang koma seperti Muhammad Syahmin adalah agak tinggi dengan purata RM2,000 diperlukan untuk membeli susu, lampin pakai buang dan keperluan perubatan yang lain.
Bagi sesiapa yang melihat sendiri penderitaan pesakit yang koma akibat pelanggaran di jalan raya ini, ianya pasti menginsafkan. Namun, semua ini perlu dihadapi oleh keluarga pesakit dengan penuh sabar dan tabah. Bak kata pepatah Melayu, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.
Concepció Fuentes-Pumarola, seorang penyelidik di Universiti Girona, Sepanyol yang menjalankan kajian mengenai kecederaan otak akibat pelanggaran di kalangan penunggang motosikal menamakan keperitan yang dihadapi oleh mangsa seperti Muhammad Syahmin sebagai ‘kesakitan sosial’ (social pain).
Menurutnya, kesakitan sosial berlaku apabila pelbagai kesukaran timbul disebabkan oleh kecederaan otak akibat pelanggaran motosikal. Contohnya, pesakit terpaksa berulang alik ke hospital, mengambil cuti sakit, hilang kapasiti profesional dan terpaksa bergantung kepada pihak ketiga dalam menguruskan diri. Malahan ada juga kes di mana modifikasi terpaksa dilakukan pada tempat tinggal dan kenderaan bagi membolehkan pesakit yang cedera ini dapat menggunakannya.
Kajian menunjukkan dalam kes kecederaan otak yang menimpa penunggang motosikal, pesakit biasanya mengalami hilang ingatan, sawan kejang, pecah tempurung kepala dan kerosakan tulang muka.
Di Malaysia, kebanyakan mangsa pelanggaran motosikal adalah di kalangan remaja antara 15-25 tahun.
“Secara umum, statistik menunjukkan bahawa pemuda Melayu yang tinggal di luar bandar merupaka golongan yang paling terdedah kepada pelanggaran motosikal,” jelas Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr Khairil Anwar Abu Kassim.
“Penunggang motosikal tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjaga keselamatan melainkan memakai topi keledar dengan betul dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang berkaitan untuk keselamatan, terutamanya had laju dan berhenti di persimpangan isyarat apabila lampu merah,” jelas Khairil.
“Malahan, sebaik-baiknya penunggang motosikal juga memakai pakaian yang sesuai seperti jaket pantul cahaya untuk membolehkan pengguna jalan lain dapat melihat mereka dan mengelakkan kemalangan daripada berlaku.”
Katanya, penunggang motosikal perlu mengutamakan ciri ‘keselamatan pasif’ (passive safety) untuk mengurangkan tahap kecederaan sekiranya berlaku kemalangan seperti memakai topi keledar, pad pada lutut dan lengan serta kasut kerana ciri-ciri keselamatan pada motosikal adalah terhad kepada brek dan tayar dan sedikit ciri lain.
“Tidak seperti kereta, ia mempunyai pelbagai ciri keselamatan pasif yang canggih seperti talipinggang keledar dan beg udara bagi mengurangkan impak akibat pelanggaran,” jelas Khairil.
Topi keledar direka dengan menggunakan plastik Acrylonitrile Butadiene Styrene (ABS), merupakan satu alat keselamatan yang direka untuk melindungi kepala penumpang daripada hentakan berdasarkan ketahanannya. Selain itu, rekabentuknya juga mampu melindungi kecederaan otak, tengkorak dan muka.
Walaupun undang-undang yang mewajibkan setiap penunggang dan pembonceng memakai topi keledar bermula sejak 1 Mac, 1973, pengecualian diberikan kepada mereka yang berstatus Haji, Hajjah dan penganut agama Sikh yang memilih untuk memakai serban. Polis Diraja Malaysia boleh mengenakan kompoun RM300 bagi mereka yang engkar dengan peraturan memakai topi keledar.
Namun begitu, topi keledar yang digunakan hendak mematuhi piawaian keselamatan dengan mendapat logo persijilan UNECE R22 atau MS1 (logo SIRIM) yang dilekatkan padanya. Ini adalah kerana topi keledar ini telah diuji keberkesanan dan kualitinya bagi memelihara kepala sekiranya berlaku hentakan akibat kemalangan.
“Harga topi keledar tidaklah mahal berbanding dengan keberkesanan fungsinya untuk memelihara nyawa penunggang motosikal. Jadi pastikan anda memakai topi keledar dengan betul setiap kali menunggang atau membonceng motosikal,” nasihat Khairil.
Semakan yang dilakukan di laman jualan atas talian, harga tapi keledar yang diluluskan oleh SIRIM boleh dimiliki dengan harga kurang daripada RM50. Ini pastinya amat jauh daripada nilai nyawa penunggang motosikal yang tidak ternilai harganya.
Ingatlah ‘kesakitan sosial’ dalam menjaga mangsa yang mengalami kecederaan otak sehingga koma adalah amat perit dan tidak semua insan sanggup mengharunginya.
(Yusof Ghani ialah Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS))
Menginsafkan.. moga keluarga mangsa sentiasa diberkati Allah. Dan kita semua dilindungi Allah.