KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,880 kes dikesan positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan melalui saringan-saringan yang dilakukan sebelum ini.
Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 15 Disember lalu, seramai 52,593 petugas kesihatan telah disaring dan diambil ujian pengesanan Covid-19.
“KKM juga mengambil maklum tentang perkembangan terbaru mutakhir ini yang mana terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas-petugas kesihatan terutamanya di dalam fasiliti-fasiliti kesihatan di dalam zon merah dan kawasan-kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan yang dijalankan KKM, majoriti punca jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan adalah jangkitan antara petugas-petugas kesihatan sebanyak 33 peratus dan jangkitan daripada komuniti (33 petugas).
Menurut Dr Noor Hisham, pihaknya sentiasa menekankan kepentingan mematuhi langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan semasa bertugas di fasiliti kesihatan dan terutama sekali ketika berada dalam komuniti.
“Antara langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disarankan kepada petugas kesihatan adalah mengamalkan budaya normal baharu semasa bekerja seperti amalan menjaga kebersihan tangan.
“Mereka juga diwajibkan sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di dalam fasiliti kesihatan, menjaga etika batuk, menjaga penjarakan fizikal terutamanya semasa berada di ruang guna sama seperti pantri, bilik rehat, bilik solat, kaunter, lif, bilik persalinan dan lain-lain,” ujarnya.
Dr. Noor Hisham berkata, para petugas kesihatan juga diminta memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang sesuai seperti yang disarankan oleh KKM selain membuat gate keeping iaitu saringan suhu badan petugas dan deklarasi gejala di pintu-pintu masuk fasiliti; dan menjalankan pemantauan harian gejala semasa bertugas,” ujarnya.
Sementara itu beliau meminta orang ramai untuk bekerjasama dengan KKM dengan sentiasa memberi maklumat yang benar kepada petugas kesihatan agar penilaian risiko yang tepat dapat dilaksanakan.
Katanya, penilaian risiko yang tepat itu penting kerana ia mampu melindungi petugas-petugas kesihatan seterusnya pesakit-pesakit lain daripada dijangkiti Covid-19. – MalaysiaGazette