Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee (kanan) semasa melawat sawah padi pada Majlis Pelancaran Agihan Benih Padi Sah di Kampung Gemilang, Tanjong Karang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 DISEMBER 2020.

TANJONG KARANG – Insentif Benih Padi Sah (IBPS) yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak melakukan manipulasi harga benih komoditi itu.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee, insentif baharu itu bagi membantu pesawah padi mengeluarkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan penggunaan benih padi sah (BPS) yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan risiko padi angin.

“Setiap musim penanaman padi, isu mengenai penghantaran benih padi dan harga per kampit benih padi yang dibeli oleh pesawah tidak dikawal sepenuhnya oleh kementerian.

“Ia menyebabkan ada pesawah membeli 20kg sekampit benih padi sah ini hingga mencecah RM60 sekampit.

“Kementerian mengambil langkah drastik ini untuk memastikan kepentingan pesawah mendapatkan hasil secara tepat dan harga per kampit benih padi sah ini tidak melebihi RM35 bagi satu kampit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Pengagihan Benih Padi Sah, sesi libat urus serta menziarahi peladang-peladang serta pemain industri di Sawah Sempadan, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr Anis Mahmud.

Dalam pada itu, MAFI melalui NAFAS turut melancarkan harga siling RM35 per kampit benih padi sah yang akan dimulakan di Selangor pada musim penanaman padi kali ini.

Bagi tujuan itu juga, NAFAS dilantik sebagai pemborong tunggal dalam program IBPS bagi memastikan kepentingan pesawah dan masalah berulang setiap musim dapat dikendali oleh industri padi beras.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee menaiki sebuah jentera bagi proses penanaman padi pada Majlis Pelancaran Agihan Benih Padi Sah di Kampung Gemilang, Tanjong Karang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 DISEMBER 2020.

“Kita akan sentiasa mengkaji dan menambah baik pendekatan-pendekatan yang diguna kementerian untuk memastikan kepentingan pesawah ini sentiasa diambil berat oleh kerajaan.

“NAFAS pula diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen dan permit kepada ejen yang dilantik oleh NAFAS itu sama ada dalam kalangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mahupun ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan,” jelasnya.

Katanya lagi, kementerian juga akan menetapkan beberapa jenis benih padi sah yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih komoditi itu untuk dipilih oleh pesawah.

Bagi tujuan itu juga, MAFI akan menyediakan stok penimbal benih padi sah bagi menangani isu kekurangan bekalan benih padi sah di luar jangka.

“MAFI akan menyediakan stok penimbal benih padi sah untuk memastikan tiada isu kekurangan benih padi sah di peringkat lapangan,” katanya.

Ditanya tentang pelaksanaan IBPS, Ronald berkata benih padi sah akan dimula dihantar ke negeri-negeri di seluruh Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat, pada musim penanaman padi kali ini.

“Pelaksanaan itu bermula dari Selangor, akan pergi sampai Perak dan Utara, ia tidak serentak.

“Ini merupakan penghantaran (benih padi sah) pertama dan musim pertama kerana penanaman terawal di seluruh Semenanjung dan penghantaran ini dipertanggungjawabkan kepada NAFAS.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada 320,000 pesawah di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sementara itu, mengulas rungutan pesawah berhubung pemotongan padi sehingga 25 peratus, Ronald menjelaskan ketika ini ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Itu merupakan SOP standard yang digunakan dan diperakui oleh MARDI, Jabatan Pertanian dan pihak kementerian

“Isu itu kita akan lihat secara spesifik kerana ia berbeza mengikut negeri, Selangor berbeza dengan negeri utara seperti Perak dan Kedah.

“Kita tahu isu ini isu yang berulang setiap musim penuaian padi, hasrat kerajaan adalah memastikan subsidi padi diberi secara telus daripada manipulasi, sebab itu dia ada sistem,” katanya lagi. – MalaysiaGazette