Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menarik semula sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menunaikan tuntutan berkaitan Belanjawan 2021.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, meskipun yakin tidak semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan sanggup berbuat demikian namun jelasnya penarikan sokongan daripada tiga hingga lima orang wakil rakyat sudah mencukupi.

“Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan ‘keberanian politik’.

“Justeru apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan? Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC (Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) sanggup. Lima tarik sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Puad, walaupun Belanjawan 2021 telah lulus namun rakyat belum lega kerana masih berhadapan dengan syarat untuk mengeluarkan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar dan mendapat kemudahan moratorium pinjaman bank.

“Muhyiddin memang lega kerana Bajet 21 telah lulus tetapi rakyat belum lega. Janji mempermudahkan i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat pula bank-bank yang liat.

“Rakyat terbelenggu dengan kriteria. Terutama untuk kategori 2 pengeluaran KWSP. Moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” tambahnya.

Puad berkata, Najib telah mendedahkan sokongan terhadap Belanjawan 2021 baru-baru ini untuk mengelakkan kerajaan pada hari ini gagal berfungsi.

Namun katanya, ia gesaan menunaikan isu berkenaan KWSP dan moratorium tidak akan berhenti sehingga ia dilaksanakan.

“Datuk Seri Najib, Pengerusi BNBBC berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya.

“Najib jelaskan, bajet terpaksa disokong kerana tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula. Jika bajet tidak lulus kerajaan sukar berfungsi untuk tempoh dua minggu lagi.

“Tetapi menurut Najib Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC),  jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak,” kata Puad lagi.

Untuk rekod pada 15 Disember yang lalu, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undi belah bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.- MalaysiaGazette