KLANG – Gagal proses nyahkuman berkala, sanitasi penginapan pekerja asing dan bilangan pekerja dalam sesebuah bilik tanpa penjarakan fizikal.
Itu keadaan yang dilihat pada sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Utara Klang di sini yang berisiko tinggi untuk ditutup operasi selama tujuh hari.
Ini kerana hasil serbuan serta pemerhatian awal mendapati pihak majikan terbabit gagal mematuhi beberapa syarat daripada segi aspek penempatan pekerja asing dengan penginapan dan perumahan yang ditetapkan di bawah Akta 432.
Pegawai Kesihatan Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed berkata, semasa pemeriksaan di dua hostel lelaki dan wanita di dalam kilang itu mendapati ada perkara yang gagal dipatuhi pihak majikan.
Ia termasuk proses nyakuman dan sanitasi yang sepatutnya dilaksanakan tiga kali seminggu secara berkala dan wajib direkodkan secara bertulis tidak dilakukan.
Pada masa yang sama, katanya, dalam asrama lelaki dan juga wanita tiada penjarakan sosial di dalam bilik walaupun diletakkan tanda pangkah merah pada tempat tidur sebelah setiap pekerja.
“Justeru dia (majikan) tak dapat membuktikan secara rekod bertulis dan berdokumen semua peraturan dan yang disyaratkan dalam Akta 342 dipatuhi.
“Sebenarnya pihak Pengarah Kesihatan Negeri Selangor telah menetapkan beberapa kriteria untuk penutupan dan kompaun iaitu dari kesalahan 1 hingga 3, boleh dikompaun dan kalau lebih daripada tiga kesalahan tindakan penutupan syarikat selama tujuh hari boleh dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia secara bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan, setakat ini, kilang itu berpotensi tinggi untuk ditutup kerana asramanya gagal mematuhi piawaian.
Bagaimanapun beliau mahu menunggu hasil laporan pemeriksaan sepenuhnya terlebih dahulu daripada para pegawainya.
“Saya nak tunggu tiga pegawai kesihatan saya selesai melakukan pemeriksaan secara sepenuhnya kemudian kita akan lihat dan bertindak sama ada menutup asrama pekerja sahaja atau kilang juga.
“Hasil pemeriksaan saya dan pegawai kami kedua -dua asrama lelaki dan wanita tadi mendapati beberapa bilik dorm daripada 18 dorm lelaki yang dibina secara tiga lapisan bertingkat yang sesak berkonsepkan gudang yang terletak 400 meter di dalam kilang itu tiada penjarakan sosial.
“Manakala kedua yang menempatkan 11 dorm atau bilik penginapan wanita di tingkat atas dan 13 bilik lelaki di tingkat bawah mendapati tidak menepati penjarakan sosial Covid-19 dan penuh di atas dan bawah.
“Kami periksa memang dia ada tanda pangkah penjarakan sosial dalam bilik penginapan tapi dia(majikan) tidak boleh menunjukkan bukti secara bertulis atau berdokumen siapa yang tinggal dalam bilik itu.
“Apabila kita tanya pekerja secara rawak ikut proses kerja pemeriksaan kami tadi dalam hostel terhadap pekerja wanita, angka dia dengan majikan bercanggah kerana kalau dikira 18 orang dalam bilik tapi majikan memaklumkan hanya 12 orang tinggal dalam bilik itu tanpa bukti rekod dokumen sah.
“Jadi sebenarnya kita tidak boleh salahkan syarikat kerana ia bergantung kepada individu menginap, mungkin syarikat sudah mensyaratkan mereka mematuhi peraturan tetapi bila tiada pemantauan berterusan syarikat, pekerja alpa dan leka terus duduk beramai ramai tanpa penjarakan sosial,” kata Masitah lagi.
Sekiranya hasil pemeriksaan mendapati syarikat gagal mematuhi segala syarat dalam Peraturan 18(1)(f) Akta 342 , kilang itu akan ditutup dengan keluarkan notis perintah tutup selama tujuh hari pada hari yang sama tanpa penangguhan.
Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan sekeliling mendapati aspek kebersihan gagal dijaga kerana haiwan seperti tikus berkeliaran berhampiran bilik setor penyimpanan barang masakan.
Bau hapak di kawasan tempat masak yang diasingkan penyediaan makanan untuk pekerja Nepal dan India dan juga ruang dapur masak khas untuk pekerja Bangladesh.
Pinggan dan cawan pada satu sudut di ruang dapur diletakkan dengan terdedah tanpa ruang simpanan tertutup seperti almari selain tempat penyimpanan barang pekerja juga tidak berkunci.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah JTK (Operasi), Mohd Asri Abdul Wahab berkata, pemantauan mendapati tempat penginapan pekerja asing di dalam kilang berkonsep seperti gudang yang diubahsuai menjadi kawasan penginapan pekerja asing secara bertingkat itu padat dan terdedah dengan risiko kehilangan nyawa jika berlaku kebakaran.
Menurutnya, syarikat itu sebenarnya mencuba sedaya upaya mematuhi kehendak Akta 446 kerana pemantauan pasukan JTK Pelabuhan Klang mendapati syarikat bertungkus lumus untuk memastikan kebersihan tempat penginapan dan juga pengurusan sampah.
“Bagaimanapun banyak perkara berkaitan Akta 446 itu yang perlu majikan patuhi yang mana ada kegagalan sedikit iaitu penginapan berkonsep triple decker dia ada layer tiga perlu naik tangga yang boleh membahayakan pekerja.
“Kedua, hampir kesemua tempat tidur mereka berkonsepkan bunking yang mana tiada tilam dan hanya beralaskan papan kayu manakala selimut mereka beli sendiri selain sistem penyambungan wayar untuk pemasangan kipas meja adalah tidak selamat.
“Dalam Akta 446 menyatakan majikan perlu menyediakan tilam sekurang-kurangnya empat inci ketebalan dengan bantal dan selimut selain locker berkunci yang selamat dan kemas.
“Malah mereka juga sehingga kini tidak mempunyai sijil perakuan penginapan dari Majlis Perbandaran Klang (MPKlang) dan ketika ditanya penyelia dakwa sudah memohon tapi kami akan semak betul atau tidak permohonan dibuat.
“Justeru kalau terbukti tidak ada permohonan dari mereka, kita akan membuka kertas siasatan untuk kesalahan-kesalahan yang dikesan pada hari ini membabitkan penginapan pekerja asing,” tegas Mohd Asri.- MalaysiaGazette