Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel, Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

SEPANG – Pendakwah selebiriti diseru agar senada dengan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersabit tentang keputusan vaksin Covid-19 yang telah ditetapkan sebagai harus baru-baru ini.

Jelas  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri,  keputusan berkenaan vaksin itu merupakan ketetapan yang telah diperhalusi dari sudut Islam. 

“Pertama sekali, saya tak kata mengguna pengaruh tapi kita nak adalah semua itu senada sebab pandangan itu bukan pandangan saya ini pandangan para ulama, badan berautoriti (pihak berkuasa) bukan semata di Malaysia tapi rujukan saya untuk umat seluruhnya. (Universiti) Al Azhar, di negara Arab, tolak ulama semua bersetuju kaedah itu.

“Alangkah baiknya kalau kita semua termasuk pendakwah selebriti senada dengan badan-badan yang amat berautoriti yang telah buat kajian demi kajian cukup teliti dan cukup mendalam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tausiyah bersama lebih kurang 50 selebiriti pendakwah di sini hari ini.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan, Zulkifli berkata, pendakwah perlu mengelakkan mengutarakan pendirian yang berbeza khususnya berkaitan vaksin Covid-19.

“Cuma dalam mendepani isu Covid-19, ada satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat, marilah bersatu fikrah.

“Elakkan berkhilaf sesama kita. Saya amat menghormati keilmuan sahabat-sahabat. Namun kita ada maslahah yang lebih besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini,” tambahnya.

Kata Zulkifli lagi institusi fatwa dan pihak berkuasa perlulah dihormati.

Segala pandangan, ujarnya sebaiknya disuarakan mengikut saluran yang betul.

 “Hormatilah institusi fatwa dan autoriti agama negeri sedia ada. Jika ada syor dan cadangan yang baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial. Moga harmoni semuanya,” ujarnya.

Semalam Zulkifli berkata, ketetapan berkenaan vaksin Covid-19 telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.-MalaysiaGazette