Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), CP Datuk Seri Zulkifli Abdullah bersama isteri, Datin Seri Noraini Abdul Jalil menaiki kenderaan khas memberi takbir hormat pada majlis paluan berundur Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas 37 tahun menabur taat setia dan berbakti kepada Polis Diraja Malaysia, akhirnya hari ini Datuk Seri Zulkifli Abdullah menggantung buat selama-lamanya uniform ‘Sang Saka Biru’ yang dianggap perisai dan lambang kesetiaan beliau kepada negara.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu bersara wajib hari ini.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya, beliau diraikan dalam majlis perpisahan Paluan Berundur penuh beristiadat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan beberapa pengarah jabatan peringkat Bukit Aman iaitu Penfarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dan ketua polis negeri antaranya Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Anak Johor yang berkelulusan Sarjana Perniagaan di United Kingdom telah memulakan kariernya sebagai pelatih kadet Asisten Supritenden (ASP) pada tahun 1984.

Datuk Seri Zulkifli Abdullah memberi tabik hormat ketika hadir ke majlis paluan berundur Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 24 DISEMBER 2020.

Beliau mula dilantik sebagai Ketua Pengarah AADK pada 15 Ogos 2018 ketika menjadi Pengarah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) selepas menggalas beberapa jawatan penting dalam PDRM.

Beliau pernah dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis (CP) pada tahun 2011 dan dilantik sebagai Pengarah Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi.

Sebelum itu, bapa kepada tiga anak lelaki dan seorang perempuan ini pernah menjawat jawatan Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Bukit Aman.

Beliau memecahkan tradisi sebagai satu-satunya pegawai tertinggi PDRM yang berjaya menerima sayap penerbangan juruterbang yang diiktiraf oleh Penerbangan Awam (CAAM).

Sebagai Pengarah Logistik, beliau berjaya membangunkan teknologi hijau Go Green PDRM sekali gus menjadikan PDRM sebagai agensi pertama sektor awam melancarkan amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau.

Ketika mengemudi Jabatan Pengurusan sebagai pengarah, beliau berjaya membangunkan dasar baharu, seiring dengan fokus utama dalam membentuk dasar moden, dasar kecemerlangan sukan dan seni, fast track (kenaikan pangkat laluan pantas), selain program trim and fit bagi memelihara kecergasan dan kesihatan pasukan PDRM.

Pada majlis itu, beliau turut diberi penghormatan apabila mengendalikan sendiri pancaragam dengan memainkan lagu dari Frank Sinatra – My Way.

Zulkifli kemudian diarak dan diiringi pegawai tinggi PDRM bagi mengakhiri tugasnya sebagai Ketua Pengarah AADK.- MalaysiaGazette