KUALA LUMPUR – Golongan yang sudah mempunyai kemampuan dan melepasi garis kemiskinan wajar melepaskan unit-unit Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya kumpulan yang lebih layak dapat menduduki kediaman tersebut. 

Tindakan tersebut akan membolehkan sekurang-kurangnya 30,000 pemohonan yang sedang menunggu PPR dan PA ini mendapat manfaat tersebut.

Ketika ini MalaysiaGazette difahamkan sebanyak 20 peratus penduduk Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat telah hilang kelayakan untuk menduduki perumahan itu atas pelbagai sebab.

Ini termasuklah penghuni tersebut memiliki rumah lain, berpendapatan tinggi sehingga mampu membeli rumah mewah dan lain-lain kriteria walhal rumah PPR serta PA sebenarnya untuk golongan tidak berkemampuan.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, bancian serta audit yang telah dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati golongan ini hilang kelayakan menduduki perumahan tersebut.

“Bancian serta audit dilakukan dari masa ke semasa. Dari situ setakat sudah 20 peratus dari penghuni ini sudah kehilangan kelayakan menduduki PA dan PPR ini.

“Kriteria utama hilang kelayakan ini ialah apabila penghuni PA/PPR ini mempunyai rumah lain, selain berpendapatan melebihi kemampuan sehingga mampu membeli kereta mewah.

“Bancian serta audit dan tindakan tegas terus diambil oleh DBKL dari masa ke semasa supaya dapat membolehkan kumpulan yang lebih layak untuk mendiami unit-unit ini.

“Kadang-kadang kita juga perlu kesedaran sivik dari kita sendiri, berilah peluang kepada yang lebih memerlukan kerana ingatlah bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mereka dengan pendapatan cukup rendah, tanggungan banyak serta permasalah lain,” katanya.

Menurut beliau, adalah tidak adil apabila golongan yang benar-benar layak menduduk PA dan PPR terpaksa menyewa di tempat lain dengan kadar tinggi.

“Setakat ini juga 30,000 permohonan untuk menyewa unit PA/PPR, namun mereka masih belum dapat mendiami unit terbabit disebabkan tiada kekosongan,” katanya.

Pada masa yang sama Santhara Kumar juga mendedahkan berikutan keadaan pandemik Covid-19, tidak ada tindakan terhadap penghuni yang hilang kelayakan ini.

“Selalunya mereka yang hilang kelayakan menduduki diberi tempoh hingga dua bulan untuk mengosongkan unit masing-masing.

“Tetapi pada masa sama sekiranya penghuni berpendapatan tinggi tetapi mempunyai tanggungan ramai, DBKL tetap bertimbang rasa untuk membenarkan mereka terus mendiami unit di situ,” ujarnya.

Santhara Kumar turut menyerahkan 20 surat tawaran menduduki unit PA/PPR DBKL kepada penduduk berkelayakan baru-baru ini.

Dalam pada itu sebanyak 2,000 buah rumah unit telah diluluskan untuk golongan berkelayakan manakala hampir 28,000 permohonan masih lagi sedang menunggu kekosongan ketika ini. -MalaysiaGazette