Gambar hiasan.

BANGKOK – Polis Thai menahan seorang lelaki rakyat Malaysia yang disyaki  menjalankan perniagaan perjudian dalam talian di Aranyaprathet, sebuah bandar berhampiran sempadan Thailand-Kemboja, dalam Wilayah Sa Kaeo.

Timbalan Ketua Polis Bahagian Imigresen 3, Kolonel Ratchapong Tiasoot berkata, selepas mendapat maklumat, polis menyerbu dua buah rumah sewa dan menahan 10 lelaki termasuk seorang rakyat Malaysia berusia 33 tahun dan sembilan warga Thai, di Wilayah Sa Kaeo, di bahagian timur negara ini pada 17 Dis lepas.

“Polis merampas wang tunai 500,000 baht (RM67,477), sebuah kereta mewah, komputer dan telefon serta menemukan 22 akaun bank milik suspek warga Malaysia.

“Suspek berusia 33 tahun mengaku dia menjalankan perjudian dalam talian termasuk loteri haram, baccarat, slot dan juga pertaruhan bola sepak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ratchapong berkata suspek juga mengaku bahawa dia mengalihkan operasi perjudian dalam talian dari Kemboja ke Thailand pada Februari lepas berikutan penularan wabak COVID-19. – MalaysiaGazette