SPOP Advanced hasil inovasi Kumpulan Kreatif MBMB iaitu Ingeniera Crew dengan kerjasama TNBR dan Intel Microelectric telah dipasang di Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin di Pulau Melaka 2017.

KUALA LUMPUR – TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah meneruskan lagi kerjasama dengan memasang sistem amaran banjir di empat lagi lokasi baharu yang dijangka siap pada tahun 2022.

Lokasi-lokasi tersebut adalah di Sungai Udang, Kampung Morten, Jambatan Tan Kim Seng dan Pengkalan Rama.

Pengarah Urusan TNBR, Ir. Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam berkata, pihaknya menyumbang kepakaran dalam memajukan sistem ini yang mula dipasang di Rumah Pam Kawalan Banjir Bunga Raya Pantai dan Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin di
Pulau Melaka pada 2017.

“Selepas pemasangan di dua lokasi di Melaka pada 2020, Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP) Advanced, hasil inovasi Kumpulan Kreatif dan Inovatif MBMB iaitu Ingenieria Crew dengan kerjasama TNBR serta syarikat Intel Microelectoric Sdn Bhd, akan dipasang di empat lagi lokasi di Melaka,” katanya di sini.

Untuk rekod, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia bagi tahun 2017 hingga Mac 2018 mencatatkan 22 kejadian banjir di negeri Melaka sepanjang tempoh itu.

Namun begitu, SPOP Advanced di Rumah Pam Kawalan Banjir Bunga Raya Pantai dan Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirin berjaya mengelak kawasan Banda Hilir daripada dilanda banjir.

SPOP Advanced menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (Internet-of-Things – IoT) terkini untuk mengesan kenaikan paras air sungai dan laut, kerosakan pam, bekalan elektrik terputus, pemantauan kualiti udara dan operasi pam secara langsung.

Menerusi sistem pemantauan berasaskan awan (cloud-based monitoring) dengan kerjasama TNBR, amaran atau maklumat boleh disampaikan kepada MBMB sama ada secara panggilan telefon (dropped call) dan khidmat pesanan ringkas (sms) atau menerusi pemantauan dalam pelayar web.

Sebagai sistem yang membolehkan pemantauan dilakukan lebih efisien dan menjimatkan masa, ia mendapat pengiktirafan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam menangani bencana alam.

Menurut Mohd FAdzil, kaedah pemantauan melalui SPOP Advanced amat berguna terutamanya ketika negara melalui    norma baharu pekerjaan dengan meminimakan keperluan interaksi fizikal di lokasi.

“Sudah tentu sistem ini memberi manfaat terbesarnya kepada penduduk Melaka kerana ia mampu mengesan kerosakan rumah pam dan mengurangkan bencana banjir daripada berlaku disebabkan kekurangan penyelenggaraan,” jelas Mohd Fadzil. – MalaysiaGazette