Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menahan 1,002 individu atas kesalahan mengingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari cuti umum Krismas, semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 854 orang telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB dan Akta 342 Kementerian Kesihatan yang dikuatkuasakan.

‘Manakala 148 individu lagi direman polis untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, 687 kesalahan pengingkaran arahan PKP yang dikesan polis membabitkan aktiviti pusat hiburan tanpa kebenaran serta beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan.

“Seramai 125 orang dikompaun kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (125), 69 orang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, 63 premis dikompaun kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan manakala lain-lain kesalahan adalah 58,’ ujarnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah membuat 49,603 pemeriksaan pada hari sambutan Krismas bagi memantau dan
menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan ,Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,454 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 10,632 anggota telah membuat pemantauan di 3,579 pasar raya, 4,656 restoran serta 1,852 penjaja.

“Turut diperiksa sebanyak 1,118 kilang perindustrian, 3,314 bank dan 498 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,076 terminal pengangkutan darat, 195 terminal pengangkutan air serta 102 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 35 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng dan pihak berkuasa telah merampas tiga buah kenderaan darat. – MalaysiaGazette