KUALA LUMPUR – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil ditutup selama 14 hari berkuatkuasa hari ini berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan wakil rakyat dan pemandu peribadinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah disahkan positif wabak itu selepas menjalani saringan dan pemandunya mengalami simptom demam.
Menurutnya, ketika ini beliau dan pemandunya berada dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan untuk menjalani rawatan dan kuarantin.
“Semua kontak rapat saya sudah dimaklum dan dikesan serta ada antaranya telah menjalani saringan mengikut SOP ditetapkan.
“Saya juga menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, beliau hadir bersama penduduk dalam Program Ziarah Prihatin di Kampung Olak Lempit dan Taman Bukit Changgang Jaya, Dengkil, manakala Khamis sebelum itu, bersama penduduk di Desa Air Hitam dan Putra Perdana, Puchong.
Sebagai langkah berjaga-jaga, operasi sanitasi akan dilakukan di pusat khidmatnya, selain kakitangan di arah menjalani kuarantin di rumah selepas saringan.
Adhif turut meminta maaf kerana mendatangkan kesulitan kepada orang ramai dan akan memaklumkan perkembangan kesihatannya dari semasa ke semasa.
Beliau meminta orang ramai terutama pengundi dalam DUN itu menghubungi pejabat pusat khidmatnya menerusi emel: [email protected]. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: