Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar membincangkan isu kartel daging import halal dibawa ke meja mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Beliau dengan sinis menasihatkan agar isu ini tidak diketepikan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rabu ini mesyuarat kabinet. Cabinet over size ini jangan buat-buat lupa pula isu cartel daging,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Semalam, Salahuddin secara sinis menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berkata perlu ada siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) terhadap isu itu.

“Amboi. Mulut tak ada insurans. Kalau berani mari sama-sama perjuangkan supaya RCI (Suruhanjaya Diraja) ditubuhkan untuk siasat kes ini,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Najib bahawa isu kartel daging import halal tidak berlaku pada zaman pemerintahannya.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut bersetuju kerajaan menubuhkan RCI.

Ia katanya perlu untuk mengetahui siapa dalang dalam dakwaan ini.

“Mesti ada keputusan Kabinet untuk tubuh RCI bagi mencari siapa the real culprits,” katanya lagi.

Isu kartel daging haram bermula apabila rampasan 30 tan daging sejuk beku yang dipercayai dibungkus semula dan kemudian menggunakan tanda halal palsu di Johor pada awal bulan ini.

Ia didakwa sebahagian bukti kegiatan kartel yang disyaki dibantu beberapa penjawat awam yang menyalahguna kuasa.

Hasil daripada rampasan itu mendapati kartel itu mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini mendedahkan, syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram dalam siasatan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

KPDNHEP katanya, bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang turut menyiasat kes itu dan tertumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan. – MalaysiaGazette