KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan telah berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya.

Menurut kenyataan ATM, insiden itu dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM.

Justeru, ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa kesemasa terutama melalui peranan BSEP dan CDOC.

Tambahnya, ia bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiapsedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal seterusnya ditangani sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast