Seorang lelaki warganegara Nigeria Innocent Uchechukwu Christian, 27 diiring Pegawai Polis Inspektor Amirul dibawa ke mahkamah untuk dakwaan melibatkan penipuan "Love Scam" bernilai RM339,610.00 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria dan tunangnya dituduh di Mahkamah Sesyen secara bersama terlibat dalam penipuan pelaburan membabitkan wang berjumlah RM339,610 ke atas seorang wanita.

Tertuduh Innocent Uchechukwu Christian, 27, yang bekerja sendiri mengangguk kepala memahami pertuduhan dan mengaku bersalah ketika kertas pertuduhan diterjemahkan oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Manakala tunangnya warga tempatan, Suvitha Mohan, 38, yang tinggal bersama beliau di Bandar Kinrara, Puchong mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Siuvitha yang sarat mengandung menangis dan merayu mahkamah mengenakan ikat jamin serendah mungkin kerana tidak mempunyai wang.

Menurut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menipu seorang wanita warga tempatan yang merupakan pengurus syarikat hartanah dengan memperdayakannya untuk melabur dalam projek pembekalan produk marin dan dengan curang mendorongnya membuat pemindahan wang ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM339,610.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Keseksaan kerana menipu dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Januari hingga 29 Ogos 2020 di Restoran Ahsiah Corner, Jalan Ipoh, Sentul.

Tertuduh diwakili M.Tharuma Ratnam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd. Hadi.

Dalam pada itu Hasbullah menetapkan Khamis ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Innocent.

Sementara itu, Annur Atiqah mencadangkan ikat jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan dikenakan ke atas Suvitha.

Bagaimanapun peguamnya, M. Tharuma merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin serendah mungkin disebabkan wanita itu tidak bekerja dan hanya mempunyai RM1,000.

“Tuan Hakim tertuduh, seorang suri rumah dan tidak berkerja mempunyai saraan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun bawah jagaan dan kini mengandung tujuh bulan.

“Dia hanya dapat tahu Sabtu lalu perlu datang ke mahkamah hari ini dan sepatutnya hadir ke hospital untuk rawatan berkaitan tekanan namun terpaksa hadir ke mahkamah menghadapi pertuduhan.

“Kalau tak dapat bayar wang jaminan tinggi, dia terpaksa lahirkan anak dalam penjara nanti.

“Mengambil kira situasi tenat anak guam saya yang berdepan krisis kewangan tenat saya tidak berhasrat menetapkan nilai jaminan minimum dan menyerahkan kepada pertimbangan dan kebijaksanaan hakim untuk mengambil kira keadaan tertuduh ini,” katanya.

Bagaimanapun, Hasbullah mengekalkan ikat jamin RM10,000 seperti yang dicadangkan Annur Atiqah dengan dua penjamin dengan alasan jumlah tersebut adalah jumlah yang rendah diperuntukkan undang-undang.

Mendengar keputusan itu, Suvitha mengesat air matanya lalu merayu kepada Hasbullah supaya mempertimbangkan semula jumlah ikat jamin.

“Tuan saya merayu sangat kepada tuan supaya tolong kurangkan lagi wang jaminan RM10,000 yang ditetapkan, saya rayu sebab tidak ada wang dan tidak bekerja.

“Saya duduk di rumah sewa dan diarah keluar akhir bulan ini, saya tak tahu nak buat apa.

“Saya juga tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh dia (tunang) Innocent, saya kini berada dalam keadaan terdesak, tiada wang untuk bayar jaminan. Tolong tuan, saya merayu,” katanya.

Hakim Hasbullah kemudian memanggil kedua-dua penjamin sebelum bertanyakan kesediaan dan kemampuan mereka untuk menjamin Suvitha dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 danĀ 18 Januari sebagai hari sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast