Sebahagian daripada peneroka Ladang Tennamaram Mukim Bestari Jaya yang membantah hasrat kerajaan negeri memajakkan kawasan mereka kepada syarikat luar negara.

KUALA LUMPUR – Bukan setahun dua mereka menjadi generasi peneroka Ladang Tennamaram Mukim Bestari Jaya di Tanjung Karang, dekat sini. 

Penempatan yang juga terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Parlimen Tanjong Karang itu mula diteroka oleh sekumpulan penduduk untuk aktiviti pertanian sejak tahun 1967 dan ia merupakan tanah rizab kerajaan negeri Selangor.

Kira-kira 60 peratus penduduk adalah kaum bumiputera manakala 40 peratus bukan bumiputera.

Sejak bertahun-tahun penduduk terbabit berjuang mendapatkan hak pemilikan penempatan namun mendakwa janji yang ditabur oleh pemimpin politik hanya tinggal janji.

Namun mereka mendakwa terkejut selepas mendapat tahu tanah yang telah diusahakan lebih tiga generasi itu akhirnya dipajakkan kepada ‘orang luar’ selama 21 tahun oleh kerajaan negeri.

MalaysiaGazette difahamkan pajakan itu diberikan kepada dua syarikat yang dipercayai milik individu dari Sarawak.

Peliknya, alamat kedua-dua syarikat itu sama dan tidak sampai dua bulan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi sudah mendapat kepercayaan diberikan pajakan oleh kerajaan negeri.

Salah seorang peneroka itu yang sudah meneroka kawasan itu hampir 70 tahun, Mohamad Mukhtar Abdul Manan merasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang sanggup memberikan pajakan itu kepada orang luar.

“Kami berjuang ini bukan sehari dua. Allahyarham ayah saya antara yang terawal meneroka Ladang Tennamaram ini sekitar 1967 dan ketika itu beliau adalah ketua kampung.

“Bayangkan hari ini usia saya genap 70 tahun, sehingga saat ini kami masih lagi berjuang tapi rintihan kami ini hanya dipandang sebelah mata sahaja.

“Mengapa beri kepada orang luar walhal kami minta dari awal lagi? Mengapa tidak cuba berunding dengan kami?

“Kami teroka kawasan yang akhirnya menjadi periuk nasi kami, ladang tanaman sawit inilah yang menjadi kehidupan kami lebih tiga generasi, kini anda beri kepada orang luar sekaligus menghancurkan kepercayaan kami.

“Adakah kerajaan negeri bawah teraju Menteri Besar Selangor kini lebih mementingkan syarikat itu daripada mendengar  rintihan kami bukan sahaja anak watan tetapi juga pengundi kepada janji serta manifesto parti politik yang memerintah,” katanya.

Menurut Mohamad Mukhtar, selama ini penduduk tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan dalam menuntut hak mereka termasuk demonstrasi sebaliknya hanya menghantar memorandum serta surat rayuan kepada semua pihak berwajib.

Namun kesemuanya diam seribu bahasa sehinggalah mengetahui kawasan mereka akan dipajak oleh syarikat luar negara oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

“Adilkah layan kami begini? Benar itu adalah tanah rizab kerajaan negeri yang bebas diperlakukan oleh anda tetapi apakah pula janji kamu kepada kami? Sudah masuk tahun baharu. Adakah kamu berterusan melakukan penganiyaan ini kepada kami?” soalnya.

Mohamad Mukhtar turut mendedahkan bekas Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pernah berjanji untuk menyelesaikan isu berkenaan namun ia tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).

Selepas itu, hampir kesemua wakil rakyat serta Exco telah ditemui oleh kumpulan peneroka berkenaan selama lebih 10 tahun namun sia-sia sahaja kerana walaupun masing-masing memberikan harapan akhirnya syarikat luar juga mendapat pajakan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Tan Abdul Salam pula merayu kerajaan negeri supaya membatalkan pajakan tanah itu dan mempertimbangkan permohonan penduduk.

“Kita bukan hendak bergaduh atau tuding jari tapi ingatlah apakah janji-janji kamu kepada kami, kami merayu sangat-sangat kepada Menteri Besar, kami juga adalah pengundi kamu.

“Kawasan penerokaan ini sudah menjadi tempat kediaman sebahagian peneroka dahulu dan kini dengan hasil tanaman kelapa sawit, jangan musnahkan rezeki kami seperti ini, kasihanilah kami,” ujarnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast