Kampus Utama MEDIU menawarkan kemudahan yang selesa dan lengkap kepada para pelajar.

KUALA LUMPUR – Penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan kembali ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac 2021.

Bagaimanapun menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagi penuntut dari Zon Merah, kemasukan ke kampus adalah 10 hari lebih awal untuk tujuan pengasingan terlebih dahulu.

Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.

Selain itu katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta(IPTS) kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021.

“Pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, keputusan itu diputuskan ketika MKN bermesyuarat pada 23 Disember yang lalu berdasarkan cadangan daripada KPT.

Jelas Noraini, kemasukan semula secara fizikal itu adalah bagi membolehkan pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka selain dalam talian.

“Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

“Keputusan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin,” tambahnya. – MalaysiaGazette