Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Permulaan awal tahun baharu 2021 semalam menyaksikan seramai 1,388 individu ditahan polis kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, seramai 1,352 individu telah dikenakan kompaun, manakala 32 direman dan empat dijamin.

Kata beliau, antara kesalahan terbanyak direkodkan semalam ialah kunjungan individu terbabit ke pusat hiburan, iaitu seramai 623 orang, diikuti gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424).

“Seramai 137 ditahan kerana tidak memakai pelitup muka, 118 lagi gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan lain-lain kesalahan ingkar PKP seramai 86 orang,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, semalam juga anggota keselamatan yang menjalankan Operasi Benteng telah menahan 95 pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana memasuki negara ini secara haram.

“Kawalan sempadan negara ini melibatkan anggota polis, tentera, Penguatkuasaan Maritim dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia.

“Mereka bertugas mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati, selain bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, menerusi Operasi Benteng juga, sebanyak 105 sekatan jalan raya dilakukan melibatkan Op Penawar 41 sekatan, Op Benteng Polis (55 sekatan) dan Op benteng AKSEM  (sembilan sekatan).

Ismail menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan terutama di lorong tikus.

Berhubung kuarantin wajib, beliau menjelaskan sejak 24 Julai 2020 sehingga semalam, seramai 96,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Semua mereka telah ditempatkan di 76 hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 88,225 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai barang keperluan asas, Ismail berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 604 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (445), pemborong (128) dan pengilang (31).

Beliau memberi jaminan, keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi. – MalaysiaGazette