Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ibupejabat Polis Daerah Putrajaya telah memulakan Operasi Khas Basikal bermula 1 hingga 3 Januari ini untuk tujuan advokasi.

Manakala, penguatkuasaan pula bermula pada 9 hingga 10 Januari 2021, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali.

“Menurut statistik kemalangan jalan raya melibatkan basikal di Putrajaya , sebanyak enam kes kemalangan jalan raya direkodkan pada tahun 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan manakala, pada tahun 2020, sebanyak 11 kes dan satu kes maut direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Fadzil, polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Ciri-ciri keselamatan basikal termasuklah lampu hadapan yang seharusnya dilengkapi dengan brek serta loceng bagi membolehkan penunggang basikal menunjukkan kehadiran
kepada pengguna jalan raya yang lain juga perlu dipandang serius,” katanya.

Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng di mana hukuman tersebut adalah non-compoundable.- MalaysiaGazette