wong kah woh
Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu memperluaskan peranan dan skop siasatan untuk turut memeriksa badan yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi kerajaan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya akan meminta kerajaan meminda Akta Audit 1957 supaya PAC mempunyai lebih banyak kuasa audit ke atas badan bukan kerajaan tertentu.

“Dalam tempoh setahun dua ini, PAC berdepan halangan untuk menyiasat badan tertentu yang nampaknya berkaitan kerajaan, tetapi tidak milik agensi kerajaan dari segi undang-undang.

“Jabatan Audit Negara tidak boleh memasuki dan menyiasat badan-badan ini,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Jelasnya, kebanyakan badan berkenaan menggunakan nama “yayasan” seperti Yayasan Wilayah Persekutuan, Yayasan Selangor dan Yayasan Bina Upaya.

Beliau berkata, PAC mendapati terdapat zon kelabu kerana badan berkenaan nampak seperti berkait rapat dengan kerajaan, tetapi bukan milik agensi kerajaan dari segi undang-undang sehingga menghalang siasatan.

“PAC perlu maju ke depan untuk menyelesaikan isu zon kelabu ini dan kerajaan perlu meminda akta supaya PAC dapat mengaudit sebarang akaun yang mempunyai kaitan dengan kerajaan.

“Kerajaan juga boleh menyerah kepada Menteri Kewangan untuk membuat keputusan terakhir sama ada mahu menyiasat badan-badan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, PAC sedang menyiasat dua kes mencuri perhatian membabitkan Kementerian Pertahanan.

Sinchew Daily melaporkan, kes itu membabitkan pembelian enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion dan berek tentera yang dikatakan “tiada askar” menjelang Pilihan Raya 2018 dengan dakwaan pemindahan pengundi.

Kah Woh berkata, beberapa bekas Menteri Pertahanan termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan dipanggil dalam siasatan isu berek itu.

“Dalam tempoh kira-kira 16 tahun, Jabatan Audit Negara di bawah pimpinan Tan Sri Ambrin Buang telah melaporkan 16 transaksi tanah membabitkan Kementerian Pertahanan dengan keluasan 2,923 ekar dan nilai RM4.8 bilion.

“Ini merupakan isu membabitkan kepentingan awam dan PAC akan memanggil Menteri Pertahanan dalam tempoh tersebut yang termasuk Ahmad Zahid dan Hishamuddin,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mengenai isu LCS pula, Kah Woh berkata, sekiranya keadaan memerlukan, bekas menteri daripada Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) akan dipanggil.

Katanya, PAC akan menyiasat dan melihat beberapa isu termasuk proses pemberian projek, termasuk kenapa projek diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), sama ada kerajaan membayar mengikut kontrak, kenapa syarikat berkenaan berdepan masalah kewangan dan baki duit sebanyak RM3 bilion yang belum dibayar kepada BNS. – MalaysiaGazette