Dr. Siti Mariah Mahmud

PUCHONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud percaya para peniaga yang berang terhadapnya berhubung isu tapak gerai di Puchong Permai diroboh dihasut oleh orang luar.

Beliau yang hadir di tapak yang sepatutnya menjadi tapak perpindahan 43 pemilik gerai berkata, tujuannya bertemu dengan para peniaga adalah untuk menawarkan bantuan.

Selain itu, katanya beliau memberi penjelasan terhadap kewajaran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bertindak merobohkan tapak perniagaan mereka pada 28 Disember lalu.

“Saya tidak tahu sama ada media tahu atau tidak tujuan perobohan adalah untuk menaik taraf infrastruktur Persiaran Puchong Permai dengan Jalan Takwa.

“Kerja naik taraf sepatutnya dilakukan pada 1999 lagi dan tidak benar kalau dikatakan tidak diberitahu dan tidak ada notis sejak 1999,” katanya.

Dalam masa sama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), kata beliau, turut menerima aduan terhadap lebih 10 kesalahan dalam kalangan peniaga di tapak gerai Puchong Permai itu.

Menurut Siti Mariah, salah satu kesalahan itu adalah menyewakan lesen sementara yang dimiliki kepada orang lain termasuk menggaji warga asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud (tengah) berjalan keluar selepas hadir ke perjumpaan bersama para peniaga di Dataran Puchong Permai, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2021.

“Terdapat pelanggaran syarat oleh peniaga di situ antaranya sebab lesen sementara jadi tidak boleh tambah struktur kekal tapak, meninggalkan barang perniagaan, menggunakan kerusi meja kepada perniagaan, kerana sepatutnya konsep kiosk,” tambahnya.

Beliau memberitahu, keputusan untuk merobohkan tapak gerai adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ada perkara yang saya tidak boleh buat apa-apa sebab ini adalah pengasingan kuasa di antara pihak PBT dengan ADUN,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau akan tetap memastikan kemudahan di tapak baru akan dipenuhi khususnya bekalan elektrik.

“Selagi ada orang berniaga di tapak lain memang tidak ada yang akan berniaga di sini, saya akan beritahu kalau kiosk ini perlukan kemudahan elektrik saya akan beritahu untuk sediakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast