Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengarahkan semua anggota Jabatan Amal dan sayap parti itu bersedia untuk membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa negeri Pantai Timur dan Selatan.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil cakna situasi keadaan cuaca buruk yang telah dilaporkan di beberapa negeri dan keadaan semakin kritikal di lokasi tertentu.

Beliau yang juga Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat DPPM turut menyeru penduduk berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri.

“Pastikan anggota keluarga terutama anak-anak kecil sentiasa berwaspada dalam apa jua keadaan ketika cuaca seperti ini sedang melanda di tempat anda.

“Teruskan berdoa agar cuaca dan situasi buruk di negara kita dipelihara dengan baik oleh Allah. Hulurkan apa jua bantuan yang meringankan kesusahan bagi yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, seramai 10,501 mangsa banjir melibatkan 2,949 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor, Pahang dan Selangor.

Johor setakat ini, merekodkan penempatan tertinggi iaitu seramai 5,957 mangsa daripada 1,570 keluarga.

Sebanyak 57 PPS dibuka melibatkan lapan daerah iaitu Johor Bharu, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Segamat dan Mersing.

Pahang pula mencatatkan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di sembilan PPS seramai 4,500 mangsa daripada 1,367 keluarga.

PPS yang dibuka ketika ini ialah Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Rompin, Pekan, Raub, Jerantut dan Lipis.

Manakala 44 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Selangor melibatkan daerah Hulu Selangor. – MalaysiaGazette