KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan disahkan positif Covid-19.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politiknya, Arlinsia Agang dalam satu kenyataan, hari ini.
“Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan telah menjalani ujian swab Covid-19 pada hari Ahad.
“Hasil ujian menunjukkan dia positif terhadap Covid-19. Dia kini menjalani rawatan di Queen Elizabeth Hospital (QEH),” kata Arlinsia hari ini.
Bagaimanapun, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu dilaporkan stabil.
Biarpun dijangkiti Covid-19, katanya, Jeffrey akan tetap melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian dan Perikanan.
“Sementara itu, Jeffrey mengatakan bahawa dia dalam keadaan baik dan meminta rakyat Sabah berdoa agar negeri itu bebas dari Covid-19,” kata Arlinsia.
Jeffrey, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 29 September tahun lalu.
Ia selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi, membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September tahun lalu. – MalaysiaGazette