Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merupakan bukti ketidakpuasan UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan yang sama selepas ini.

“Kalau perkara ini berterusan tidak tahulah berapa ramai lagi. Saya percaya ini pencetus kepada kemuncak ketidakpuasan UMNO kepada Bersatu  yang menjadi teraju Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, UMNO akan membawa usul dan pendirian-pendirian yang telah disuarakan oleh ahli-ahli semasa Mesyuarat Perwakilan ke peringkat Majlis Tertinggi yang bermesyuarat Rabu ini.

Untuk rekod ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO yang berlangsung pada tiga hari lalu,  majoriti menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Bersatu.

Tajuddin sendiri ketika berucap merasmikan perwakilan parti di kawasannya menegaskan, UMNO tidak perlu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut Tajuddin berkata, suara-suara akar umbi UMNO baru-baru ini membuktikan situasi politik mutakhir ini.

Bagaimanapun ujarnya sehingga kini UMNO berada dalam Perikatan Nasional (PN) .

“Sekarang ini tidak timbul keluar dari kerajaan (en block) itu tidak dapat lagi kita lihat apa pendirian (terbaharu)  parti terhadap kerajaan PN.

“Saya tidak boleh nak mengesahkan kita akan keluar daripada kerajaan PN bila pun saya tidak boleh sahkan tapi rasa tidak puas hati terhadap PPBM yang meneraju kerajaan itu memang tidak dapat dinafikan ini boleh dilihat apabila 142  ketua bahagian UMNO di seluruh negara menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan  Bersatu itu peringkat  ketua bahagian.

“Banyak orang mempertikaikan itu di bawah mungkin akar umbi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ugut semalam, petang ini serah surat letak jawatan pengerusi MPOB