Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik inisiatif pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman (Covid-19) yang diberikan kepada peminjam yang layak selama tiga bulan lagi.

Melalui pengumuman tersebut, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited memastikan inisiatif itu dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam, kata Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Menurutnya, pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN (Covid-19) melibatkan peminjam yang layak adalah peminjam yang kehilangan pendapatan (diberhentikan pekerjaan) dan yang terjejas pendapatan (pendapatan
berkurangan).

Peminjam perlu mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19 mulai 5 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021.

“Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021.

Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Peminjam juga diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan dapat disampaikan kepada mereka.

“Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan.

“PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” kata Ahmad Dasuki.

Pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman menunjukkan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN, katanya.

Beliau berharap inisiatif yang sama dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam yang terkesan akibat pandemik yang melanda.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan soalan lazim.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast