Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) bersama peniaga melaungkan kata-kata semangat selepas pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya tidak merobohkan gerai mereka di Puchong Permai, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

PUCHONG – Seramai 43 peniaga Puchong Permai boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja perobohan gerai makan yang dijadualkan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong Permai, ditangguhkan hari ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah setelah beliau dimaklumkan oleh pihak polis, awal pagi tadi.

“Saya difahamkan oleh pihak polis bahawa operasi hari ini ditangguhkan buat sementara waktu.

“Malam tadi pun saya telah dihubungi Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, saya minta bantuan pihak polis supaya mengadakan satu mesyuarat demi keselamatan dan keamanan negara.

“Ini disebabkan oleh pihak Datuk Bandar Subang Jaya enggan berjumpa dengan wakil peniaga Puchong Permai termasuk saya sendiri.

“Saya minta pihak polis panggil Datuk Bandar dan kami bincang bagi situasi menang-menang atau menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di tapak gerai Puchong Permai, hari ini.

Pada 28 Disember tahun lepas, lebih 100 anggota penguatkuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap kepada media di Puchong Permai, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, penjaja turut membawa plakad tertulis pelbagai mesej antaranya ‘MBSJ Sediakan Gerai Bukan Kiosk’, ‘Menteri Besar Selangor Mohon Campur Tangan Isu Ini’, ‘Datuk Bandar Tolong Prihatin Masalah Peniaga Bukan Meroboh’, ‘MBSJ Jangan Bertindak Zalim Semasa Covid-19’ dan ‘MBSJ Tangguh Dulu Perobohan Ibu Tunggal Berniaga’.

Berikutan penutupan kawasan gerai makan itu lebih seminggu lalu, Mohd Ridzuan bersama 43 peniaga di situ nekad untuk berniaga semula di kawasan tersebut, bermula esok.

“Esok mereka (peniaga) akan mulakan operasi perniagaan mereka masing-masing.

“Setiap peniaga sudah membuat laporan polis, saya sebagai Presiden IKHLAS, saya akan sentiasa bersama mereka di sini, pastikan mereka selamat daripada ancaman MBSJ.

“Bagi saya itu satu ancaman sebab mereka tak mahu berunding, tiada budi bicara, walaupun banyak pihak campur tangan dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, kesemua 43 peniaga terbabit akan terus berada di sekitar gerai makan bagi memastikan kerja-kerja perobohan itu benar-benar ditangguhkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Kita tetap tunggu di sini, kita nak dapatkan kepastian daripada Senator Suresh dan pihak lain nak pastikan tapak ini tak dirobohkan hari ini,” katanya.

Ditanya tentang beberapa gerai yang telah dirobohkan sebelum ini, beliau bersama ahli persatuan peniaga di situ akan membaiki semula gerai terbabit bagi membolehkan mereka berniaga esok.

“Kita akan bergotong-royong membaiki semula khemah dan gerai yang terjejas,” katanya.

Beliau turut mendedahkan setiap peniaga kerugian antara RM1,000 hingga RM2,000 sejak gerai makan itu ditutup operasinya sejak seminggu lalu.

“Mereka berniaga ini cuma cukup-cukup makan saja, takkan negara dalam situasi gawat, tengah susah, rakyat pun jatuh susah, mereka terpaksa berniaga sana sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette