KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bermesyuarat malam ini bagi menentukan keputusan berhubung perkembangan semasa situasi politik negara sejak kebelakangan ini.
Selepas menerima ‘ugutan’ supaya menyegerakan pembubaran Parlimen dan PRU-15 daripada UMNO, pucuk pimpinan Bersatu akan membincangkannya dalam mesyuarat pukul 8.30 malam ini di ibupejabat parti di Petaling Jaya.
Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan oleh Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini di Menara Yayasan Selangor.
Satu langkah penyelesaian dijangka mungkin akan dirungkai beliau bersama barisan kepimpinan pusat parti itu.
Sudah pasti beban kini pada bahu Muhyiddin yang perlu mencari titik penyelesaian bagi mencari jalan keluar daripada situasi politik yang bertambah teruk.
Mesyuarat malam ini juga dijangka akan membincangkan pendirian parti itu terhadap penolakan kerjasama oleh akar umbi UMNO terhadap Bersatu dalam PRU-15.
Di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pula, UMNO juga akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi malam ini selepas mengadakan mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada sebelah siang.
MT UMNO perlu memutuskan hala tuju parti ekoran keputusan mesyuarat ketua-ketua bahagian parti yang majoriti menolak kerjasama dengan Bersatu selain ‘penyingkiran’ kontroversi Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Bekas Setiausaha BN Tan Sri Annuar Musa pula dipecat dan digantikan dengan Ahmad Maslan semalam oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi BN.
Sebelum ini lebih 140 bahagian UMNO didakwa membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Kita tunggu dan apa kesudahannya kemelut politik antara Bersatu dan UMNO.- MalaysiaGazette