Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan gambar kanak-kanak yang disyaki didera sehingga meninggal dunia dalam sidang media di Balai Polis Rawang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2020.

RAWANG – Bukan sekadar dirotan, malah dipijak dan ditendang di perut sehingga pecah usus!

Akibat penderaan, seorang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia lima tahun 11 bulan mengalami muntah yang teruk sebelum meninggal dunia di kediamannya.

Nenek saudaranya yang disyaki suspek utama merupakan antara enam sekeluarga yang ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku pada 30 Disember lalu di rumah suspek utama itu di Kampung Sungai Chinchin, Gombak.

Katanya, pada jam 7 malam polis menerima laporan polis daripada ibu saudara mangsa bahawa kanak-kanak itu tidak sedar diri selepas muntah di ruang tamu dan anggota paramedik dikejarkan ke rumah mangsa.

Tambah beliau, paramedik yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

“Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara mayat mangsa dihantar untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur kerana pemeriksaan awal ke atas mangsa tidak mempamerkan sebarang petunjuk wujud unsur jenayah memandangkan pengadu juga mendakwa mangsa mati akibat sakit perut dan mempunyai sejarah penyakit iaitu lebihan cecair dalam otak dan pernah menjalani pembedahan otak.

“Mangsa juga seorang OKU kerana tidak dapat berdiri dan berjalan dengan sempurna dan sering memakai kain lampin pakai buang tetapi pemikirannya waras dan sempurna serta sentiasa ceria dan bertutur tanpa masalah.

“Malangnya hasil bedah siasat pada 1 Januari lalu pula mendedahkan kematian mangsa berpunca wujud ‘force trauma’ yang mengakibatkan usus perut pecah sebelum polis sedar ada unsur jenayah dan mengklasifikasikan kes sebagai 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Arifai, berdasarkan hasil bedah siasat, enam suspek sekeluarga berusia 24 hingga 55 tahun ditahan pada 1 Januari lalu.

Ia membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita termasuk bapa kandung, nenek saudara mangsa yang merupakan warga Indonesia.

Tambah beliau, mangsa berada di bawah jagaan bapa dan nenek saudaranya sejak 2017 selepas ibu bapanya berpisah.

Arifai berkata, siasatan lanjut mendapati pelbagai objek dan rotan disyaki digunakan oleh nenek saudaranya untuk mendera kana-kanak tersebut setiap kali mangsa buang air besar.

Ujarnya, terdapat kesan calar di badan dan kepala mangsa selain kesan cucukan ubat nyamuk di badan selain suspek disyaki dipijak dan disepak perutnya yang mengakibatkan usus pecah.

Menurut aRIFAI, kesemua suspek direman bermula 2 hingga 7 Januari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mereka akan disambung reman esok.

“Suspek utama iaitu nenek mangsa berusia 55 tahun itu adalah warga Indonesia yang sudah lama bertapak di negara ini yang mana anak-anaknya sudah membesar dan mempunyai status pemastautin tetap di sini.

“Polis tak tolak kemungkinan nenek saudara hilang sabar dan tak mampu mengawal emosi menjaga kanak-kanak malang itu dan penderaan mungkin tak berlaku di depan mata bapa kandungnya yang jarang berada di rumah kerana memandu lori,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast