Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) ke atas Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru yang sepatutnya tamat pada 8 Januari ini dlanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 22 Januari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, lanjutan PKPD itu dilakukan  atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan persetujuaan Kerajaan.

Katanya, KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di asrama ini masih lagi tinggi.

“Sehingga kini, sebanyak 1,303 ujian saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 555 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, submukim Ipoh, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok sehingga 20 Januari 2021 berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Ismail Sabri berkata, terdapat 106 kes positif Covid-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 89 kes adalah daripada jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“KKM juga turut mengesahkan terdapat kluster yang masih aktif melibatkan kawasan kilang yang bertumpu dalam beberapa kawasan perindustrian di Submukim ini yang berisiko kepada penularan jangkitan COVID-19.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPP di submukim Ipoh, Perak bermula 7 Januari sehingga 20 Januari 2021,” ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan perintah itu bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette