Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan nada sinis mempersoalkan bolehkah UMNO ‘meninggalkan’ Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Perikatan Nasional (PN).

Ia ekoran pendedahan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung sokongan parti itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sampai hati ke UMNO nak tinggalkan Abah (Muhyiddin) dan Ayah Chik (Hadi Awang)? Pilu juga perasaan bila dengar lagu Kenang Daku Dalam Doa Mu,” ciap beliau di Twitter hari ini.

Salahuddin dipercayai merujuk kepada pendedahan Annuar mengenai surat sokongan yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memberi sokongan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh hari ini mendedahkan beliau mempunyai bukti nyata yang Ahmad Zahid memberikan surat sokongan untuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata surat sokongan yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid itu bertarikah 11 Oktober lalu adalah tulen. – MalaysiaGazette