Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi hantaran (posting) media sosial mengenai pelepasan air Empangan Cameron Highland hingga menyebabkan banjir yang tular di laman media sosial.

Menurut kenyataan syarikat utiliti itu, paras air di empangan hidroelektrik itu berada di bawah paras limpahan dan tiada pelepasan air berlaku, seperti yang didakwa dalam hantaran media sosial itu.

“Paras air di dua lagi empangan TNB, iatu Tasik Kenyir, Terengganu dan Sungai Perak, juga di bawah paras limpahan dan tiada pelepasan air dilaksanakan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sejak Ogos tahun lalu, TNB telah membuat persediaan awal di ketiga-tiga empangan itu dengan melakukan pelepasan terkawal bagi menurunkan paras air empangan agar dapat menampung peningkatan jumlah air ketika musim tengkujuh.

Syarikat itu juga telah mengadakan beberapa siri taklimat berkenaan persediaan dan latihan kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik dan pejabat operasinya bagi meningkatkan kecekapan dan siapsiaga semua pihak, ujarnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau facebook TNB CareLine. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast