Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee

KUALA LUMPUR – UMNO perlu belajar daripada pengalamannya akibat kekalahan pada PRU-14 lalu, nasihat Datuk Seri Syed Ali Al Habshee.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, parti itu tidak boleh gelojoh sebab hari ini UMNO sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Beliau mempersoalkan kenapa UMNO mahu meruntuhkan kerajaan yang dibina bersama dan bukan hanya bekerjasama separuh jalan.

“Saya hendak nasihat kepada UMNO, kita ada pengalaman pernah kalah. Jadi bila sudah kalah ambil iktibar belajar daripada kekalahan. Kita tidak payah gelojoh, hari ini kita jadi kerajaan, kenapa hendak runtuhkan kerajaan yang kita bina, pemimpin UMNO kena ambil iktibar kena belajar dan belajar daripada apa yang kita lalui.

“Saya sebagai ahli biasa, UMNO, Pas dan Bersatu perlu diteruskan ketika ini sehingga satu masa bukan tengah jalan hendak tarik sokongan. Apa keuntungan kepada bangsa kita?

“Sekarang kita hendak bercakap apa keuntungan kepada orang Melayu. Semua pemimpin perlu letak kepentingan di sebelah sebaliknya letak kepentingan Melayu. Di mana Melayu hendak pergi selepas ini kalau kita sama kita asyik bercakaran.

“Melayu kena bersatu, ambil iktibar kekalahan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Mudah sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pada September 2018, Syed Ali mengumumkan keluar UMNO demi menjaga survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan selepas 22 tahun menyertai parti itu.

Tiga bulan kemudian, beliau menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) namun jodoh dengan parti itu hanya bertahan setahun lebih.

Namun beliau ketika ini sedang menunggu surat rasmi kembali ke UMNO  daripada ibu pejabat parti selepas permohonan telah diterima.

Ditanya gesaan beberapa pemimpin utama UMNO agar PRU-15 disegerakan, Syed Ali berkata, ia boleh dilaksanakan jika orang Melayu tidak mahu bersatu.

Namun jika kaum itu boleh bersatu, beliau berpendapat, kerajaan sedia ada perlu diteruskan sehingga habis penggal.

“Dalam keadaan hari ini kalau orang Melayu tidak mahu bersatu, ia perlu disegerakan. Kalau orang Melayu hendak bersatu, okey dan bertahan selama lima tahun. Hari ini kita tengok terumbang ambing, kejap itu dan keputusan macam-macam.

“Semua orang perlu dalam landasan tetapi sekarang semua sudah keluar landasan. Sebab itu semua khuatir dan minta buat PRU awal. Perdana Menteri kena tengok dan panggil serta bincang.

“Kalau perlu buat awal, buatlah nak buat macam mana. Sebab kekuatan sudah tidak ada, ugut-mengugut sudah jadi trend dan tidak baik untuk kerajaan. Semua berebut tapi bila meninggal dunia hanya bawah amal dan ibadah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kah kah ko cakap katak lompat satu haram tak boleh pakai…bila ko tgk UMNO lemah ko lari, bila UMNO kuat dan PH, jatuh ko nak balik semula kpd UMNO? Ko ni musibat!

Comments are closed.