Dr Noor Hisham Abdullah

16 KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes sembuh Covid-19 hari ini mengatasi kes baharu dengan 2,708 kes berbanding 2,643 kes setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kes kematian yang direkodkan hari ini pula bertambah sebanyak 16 kes kepada 537 kes keseluruhannya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu hari ini menunjukkan penurunan dari 3,027 kes yang direkodkan semalam kepada 2,643 kes, hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 105,431 kes (80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Negara kita melaporkan kes harian sebanyak 2,643 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 131,108 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,140 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, daripada 2,643 kes baharu yang dicatatkan hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes, yang mana sejumlah 904 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes dan Johor sebanyak 298 kes.

“Sebanyak 79 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Tembok Gajah (1 kes),” katanya.

Setakat ini katanya, terdapat 170 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette