PKPD dilaksanakan di Kg. Bergosong, Tawau, Sabah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak dapat menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan berikutan kes positif Covid-19 di kawasan itu masih tinggi.

Mengikut jadual, PKPD bagi lokaliti itu akan tamat tengah malam ini, tetapi hasil daripada ujian saringan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas 1,694 orang, sebanyak 459 didapati positif.

Selain itu, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, KKM juga turut mengesahkan masih terdapat 803 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Oleh itu, atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh PKPD di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu selama dua minggu lagi bermula 11 sehingga 24 Januari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau juga mengumumkan pelanjutan tempoh PKPD dua minggu lagi bagi lokaliti Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

Katanya, lokaliti itu dilanjutkan tempoh PKPD kerana merekodkan 516 kes positif dari 1,376 yang menjalani ujian saringan.

“Lokaliti ini juga sepatutnya tamat tengah malam ini, tetapi disebabkan masih merekodkan kes tertinggi, pelaksanaan PKPD terpaksa disambung lagi dua minggu bermula 11 hingga 24 Januari ini.

“KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di pusat tahanan ini masih lagi tinggi dan banyak kes baru dikesan selepas saringan kedua dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, antara lokaliti yang turut disambung tempoh PKPD ialah Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor bermula 11 sehingga 24 Januari ini. – MalaysiaGazette