Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan musibah banjir yang melanda dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, Bank Islam Malaysia Bhd menyalurkan dana berjumlah RM400,000 daripada platform pendanaan awam Islamnya, Sadaqa House, untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana banjir di negeri-negeri terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed berkata selain menawarkan kemudahan moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir, bank itu juga menggandakan usahanya dengan memperuntukkan sumbangan daripada inisiatif kewangan sosial Islamnya, Sadaqa House, bagi memastikan dana sokongan dan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa.

“Usaha ini juga secara tidak langsung mencerminkan bahawa institusi perbankan Islam sentiasa mengamalkan konsep perkongsian rezeki dan peranan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah, zakat dan wakaf mempunyai kelebihan dalam memainkan peranan penting untuk membantu menjaga kebajikan sosio ekonomi ummah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Muazzam berkata, bank itu juga akan menyalurkan RM100,000 daripada jumlah dana tersebut kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah yang kini sedang giat menjalankan aktiviti membantu mereka yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Dana misi bantuan kemanusiaan dan bencana Bank Islam merangkumi sokongan bantuan langsung seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, kelengkapan asas mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta pembelian peralatan-peralatan kebersihan bagi menghadapi keadaan pascabanjir.

Bank Islam juga turut bekerjasama dan menjalinkan hubungan strategik dengan dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Yayasan Food Bank Malaysia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Mercy Malaysia untuk penyaluran bantuan ini.

Orang ramai yang ingin turut menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada Sadaqa House Bank Islam di nombor akaun 140 140 101 88888 atau melayari laman sesawang Sadaqa House di www.sadaqahouse.com.my.- BERNAMA