Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Lima lagi kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 586, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Manakala jumlah kluster yang ditamatkan pula adalah sebanyak 332 termasuk tujuh yang tamat hari ini iaitu Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur dan
Kluster PTS Sibuga.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 254 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Antara yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Rawa Akasia (73 kes), dan Kluster Beringin (65 kes).

Noor Hisham berkata, kelima-lima kluster terbaharu hari ini dilaporkan di tiga negeri iaitu dua di Selangor, dua di Kelantan dan satu di Sabah.

Katanya, kluster berkenaan adalah Kluster Tapak BIna Cyber dikesan di Sepang, Petaling, Klang, dan Hulu Langat di Selangor yang mana kes positif dilaporkan bermula pada 31 Disember 2020 hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, seramai 140 individu telah disaring yang mana 67 kes daripadanya telah dikesan positif,” ujarnya pada satu kenyataan hari ini.

Kluster kedua adalah Texmile dikesan di Gombak yang mana kes positif dikesan bermula pada 9 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan sehingga kini sejumlah 351 individu telah disaring manakala 19 daripadanya positif.

Kluster ketiga iaitu Jalan Sibuga pula membabitkan Sandakan, Sabah dan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125,813) telah dilaporkan positif pada 7 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan setakat ini 80 individu disaring dan sembilan kes telah dikesan positif.

Tambah beliau, Kluster Alor Durian pula dikesan di daerah Tumpat dan Kota Bahru di Kelantan.

Menurut beliau, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125,408) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 6 Januari lalu hasil saringan rentas negeri.

“Sehingga hari ini, sejumlah 77 individu telah disaring dan 17 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19. Kluster kelima adalah Wakaf Lanas melibatkan daerah Pasir Puteh di Kelantan,” katanya.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-122,818) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Januari lalu hasil saringan rentas negeri dan setakat ini sejumlah 29 individu telah disaring dan 11 daripadanya telah dikesan positif.- MalaysiaGazette