Nurul Izzah Anwar

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mahu pengamal media diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan sama seperti anggota keselamatan dan kesihatan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Bagi tujuan itu, petugas media sewajarnya diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebaik sahaja bekalan perubatan itu tiba di negara ini.

“Petugas-petugas media perlu mendesak kerajaan supaya mengiktiraf pengamal media sebagai petugas barisan hadapan.

“Golongan media perlu mendesak Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memberi keutamaan suntikan vaksin ini kerana mereka juga berisiko tinggi ketika berada di lapangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran dan Penyertaan Golongan Muda Profesional ke dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Terdahulu Nurul Izzah menyaksikan penyertaan 26 anak muda profesional ke dalam Biro Profesional AMK Malaysia sebagai persediaan bagi menghadapi PRU-15.

Hadir sama Ketua AMK Malaysia yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrallah Mohd Nasir.

Dalam pada itu, Nurul Izzah tidak menolak kemungkinan golongan siswazah akan berdepan ketidaktentuan pasaran pekerjaan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Graduan tidak terjamin kerjayanya kerana dunia menantikan kemungkinan PKP atau PKPB akan lebih mencabar. Tidak ada mana-mana bidang, kalau dulu jurutera ini zaman saya sedemikian bayaran, zaman sekarang kita tak tahu

“Mungkin tercari-cari dalam bentuk barisan hadapan kesihatan, mahu tidak mahu memaksa kita lebih anjal, fleksibel dan dapat mewujudkan rantaian dengan pelbagai pihak dan kepakaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette