Sokongan Ahli Parlimen kepada Muhyiddin semakin tipis, meletakkan kerajaan dalam keadaan tergantung.

TERKINI, politik negara semakin meruncing dan mengikut hukum demokrasi berparlimen, kerajaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah nyawa ikan menjadi “kerajaan tergantung” kerana Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub isytihar secara terbuka menarik diri dari memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Ini bermakna jumlah pihak kerajaan PN kini tinggal 110 sahaja. Ini baru Ahli Parlimen Machang dan sekiranya dua atau tiga lagi Ahli Parlimen dari UMNO menarik diri, sudah pasti kerajaan PN tersungkur.

Sudah menjadi pengetahuan umum, kerajaan PN sebenarnya sudah lama jatuh jika Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul tidak percaya dibentang dan dibahas di Parlimen baru-baru ini, malah, sebelum pembentangan Belanjawaan 2021 pada November 2020 lagi.

Bagaimanapun, Belanjawaan 2021 itu hanya mendapat sokongan cukup makan sahaja, iaitu 111 undi kerana ada Ahli Parlimen menyokong bajet berkenaan demi menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

Susulan dengan keputusan UMNO Bahagian-Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bermakna kerajaan PN sudah hilang majoriti.

Kewujudannya hanya atas dasar ‘teknikal’ sahaja, hanya menunggu proses formaliti sahaja untuk jatuh secara rasmi dan muktamad.

Maka, kestabilan politik negara sudah tergugat. Pelabur sudah pasti hilang keyakinan. Ekonomi negara semakin merudum dan tenat akibat ancaman Covid-19 dan ketiadaan kestabilan politik.

Negara sedang melalui krisis kepimpinan yang membingungkan. Ini semua akibat percaturan politik parti-parti politik dan pemimpin-pemimpinnya yang berhempas pulas untuk mempertahankan kuasa dan merebut kuasa.

Terkini, politik negara di persimpangan jalan. Antara demokrasi dan keselamatan rakyat. Jika mengikut tradisi demokrasi berpalimen, apabila kerajaan hilang kepercayaan, maka Dewan Rakyat mesti dibubarkan dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

PRU 15 yang edahnya tamat Mei 2023 terpaksa diawalkan. Ada pihak mendesak PRU 15 boleh diadakan sebab vaksin Covid-19 akan diterima oleh kerajaan bulan Februari ini, tetapi banyak pihak juga tidak bersetuju dan membantah jika PRU 15 diadakan bulan Mac atau sebelum Ramadan.

Risiko ancaman Covid-19 tidak boleh ditentukan tahapnya. Keselamatan rakyat wajib diutamakan. Jika tiada PRU 15 dalam masa terdekat, pasti risiko terhadap rakyat tidak membimbangkan, walaupun bahaya tetap wujud.

Namun, jika diadakan PRU 15 juga dalam masa terdekat, risiko bahaya lebih terserlah. Tengok ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini. Jika ini berlaku, siapa akan dipertanggungjawabkan?

Ada pihak mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Perdana Menteri. Jika tidak letak jawatan sekarang pun, masa akan tiba untuk Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.

Apa akan berlaku? Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri baharu yang ada sokongan majoriti atau membubarkan Dewan Rakyat untuk memberi laluan PRU 15. Tapi PRU ini mustahil boleh diadakan dalam masa terdekat.

Jika dilantik Perdana Menteri baharu pun, nescaya sokongan majoriti juga tidak jauh bezanya. Apakah kestabilan politik akan terjamin dan pelabur akan memberi keyakinan? Juga belum tentu.

Oleh kerana edah PRU 15 sehingga Mei 2023, masih ada masa kira-kira dua tahun sahaja lagi, maka pilihan Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan Perisytiharan Darurat dengan melantik MAGERAN untuk mentadbir negara dalam tempoh itu, sebelum PRU 15 di adakan.

Tempoh dua tahun ini adalah tempoh bertenang dan semua pihak wajib berganding bahu memulihkan kestabilan politik serta ekonomi negara. Fokus juga hendaklah diberi perhatian serius kepada isu nasional termasuk isu perkauman yang mendidih kembali dan memperkasakan kembali Dasar Nasional berpandukan kepada Perlembagaan Negara.

Kerangka politik negara juga boleh ditransformasikan kepada sistem dua parti jika ianya membantu kepada kesuburan amalan demokrasi negara. Ini juga boleh diertikan sebagai satu reformasi politik negara.

Secara ringkas, semasa darurat dua tahun ini, semua pihak diajak kembali ke “drawing board” atau kembali ke papan hitam untuk merungkai segala masaalah negara sebelum nasi menjadi bubur. Mereka yang berjiwa besar dan ada semangat patriotisme negara pasti menyokong cadangan ini.

Apabila Yang di-Pertuan Agong memberi ampun perkenan dan mengisytiharkan darurat, seorang tokoh berwibawa, bersih, berpengalaman dan boleh diterima semua pihak hendaklah dilantik menjadi Pengarah MAGERAN selama tempoh sehingga PRU 15 diadakan, sewajarnya pada Mei 2023 iaitu cukup edah lima tahun selepas PRU 14.

Parti Putra adalah parti politik yang tegas dengan pegangan prinsip demokrasi dan tegas menjunjung keselamatan rakyat dan negara.

Pertimbangan cadangan ini dibuat dengan mengambil kira prinsip tersebut sebagai formula bagi menyelesaikan kerenah politik semasa, ancaman Covid-19 dan ekonomi rakyat serta negara yang semakin teruk dan tenat.

Dr. Ibrahim Ali

Presiden Parti Bumiputera Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. jangan lah diikut pendapat ahli ahli politik yang hanya mementingkan tembolok masing masing…dan memperjuangkan kelompok kelompok tertentu sahaja..lihatlah sekeliling anda perjuangkan lah nasib rakyat secara keseluruhannye…pemimpin pemimpin politik yang lapar kuasa ini lah yang telah menghancurkan negara tercinta ini setelah sekian lama silih berganti…sedarlah sekelian rakyat negar a tercinta MALAYSIA KU…

  2. Dahulu Malaysia gilang gemilang, selepas 22 bulan diperintah oleh Pakatan Hancing yang ditunjangi Dfcuk negara terus dirundung malang, SURAM MURAM!

    Institutional reform yang diretorik2kan hanya untuk membebaskan GODFATHER dan kroni2 mereka dari kes2 mahkamah sahaja!

    Kes M Adeeb yang ditidakkan keputusan mahkamah koronernya entah dimana penghujungnya!

  3. Tiada siapa yang layak jadi PM untuk kerajaan yang tergantung kerana Tun tidak cukup sokongan dari Anwar dan Anwar tidak pula cukup sokongan dari Muhyidin dan Muhyidin tidak cukup sokongan majoriti. Jadi rakyat juga terpaksa pilih yang paling banyak dari 3 orang ni, selain dari PRU di musim covid.

Comments are closed.