Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa bagi melindungi diri, keluarga, rakan dan teman dari penyebaran Covid-19.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat memberikan penekanan itu berikutan bimbang dengan kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjangkakan Malaysia berhadapan dengan kemungkinan 8,000 kes positif harian.

Kata beliau, jangkaan itu sangat membimbangkan dan sangat penting bagi seluruh rakyat memainkan peranan masing-masing tanpa mengira kedudukan, ras, agama mahupun parti politik.

“Jangkaan dilakukan KKM yang Malaysia akan berhadapan dengan kemungkinan 8,000 kes harian sangat membimbangkan.

“Saya menggesa setiap kita patuhi SOP sepanjang masa dan paling utama pemimpin politik mesti tingkatkan disiplin serta keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima sebarang layanan istimewa, berbanding mereka yang berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan Twitternya dilaporkan berkata, Malaysia dijangka merekodkan peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga 8,000 kes sehari pada akhir Mei ini, jika kadar infektiviti negara berterusan pada 1.1.

Beliau yang turut memuatnaik dua carta di Twitternya itu, menunjukkan kemungkinan senario untuk negara sekiranya gagal menurunkan Covid-19 kepada R-naught yang kini berada sekitar 1.1.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) turut mendoakan kesembuhan dua menteri dijangkiti Covid-19, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta mereka yang turut disahkan positif.

Jelas beliau, kerajaan harus segera mendedahkan apa rencana dan strategi mereka bagi membendung penularan wabak itu, ketika sistem kesihatan sudah semakin tenat serta rancangan bagaimana ekonomi negara harus terus bergerak di saat ini.

Beliau turut mengulangi penghargaannya kepada petugas barisan hadapan yang komited menjalankan tugas meskipun terus terdedah kepada serangan wabak itu.

“Pengorbanan mereka pada negara dan rakyat tidak kecil nilainya dan wajar disanjungi,” katanya. – MalaysiaGazette