Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri mulai tengah malam esok, pergerakan merentas negeri dan daerah turut dikuatkuasakan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari ini.

Katanya, enam negeri yang dilaksanakan PKP ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, diikuti PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak serta akan diteruskan sepanjang tempoh itu.

Jelas Muhyiddin, dengan pelaksanaan itu, orang ramai yang berada dalam atau luar daripada enam negeri yang dikuatkuasakan PKP tidak dibenarkan sama sekali membuat sebarang pergerakan keluar atau masuk.

“Setiap pergerakan bagi negeri yang dilaksanakan PKP juga dihadkan dalam 10 kilometer radius sahaja.

“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit berdekatan, hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada dalam kenderaan yang sama,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Tegas Muhyiddin, mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000 – MalaysiaGazette