KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan dan institusi pendidikan bagi tahun 2021.
Takwim ini boleh dirujuk di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my/takwim.
Manakala takwim bagi IPS pula berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.
Pembukaan ini melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut KPM pengoperasian kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.
Katanya, KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan aspek kesihatan dan
keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan. – MalaysiaGazette