Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Bharu, Kelantan; Ranau, Sabah dan Taiping Perak tidak dilanjutkan tempoh, sebaliknya ditamatkan pada hari ini dan esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku penurunan jumlah kes positif Covid-19 di beberapa kawasan berkenaan.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 11 Januari 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 152 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 78 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di madrasah ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kerajaan juga menamatkan pelaksanaan PKPD di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan, Ranau, Sabah yang dijadualkan tamat pada 11 Januari 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 424 ujian saringan di Kg. Paginatan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Manakala di Kg. Maringkan, 166 ujian saringan telah dilaksanakan dan secara kumulatif merekodkan sebanyak 23 kes positif Covid-19.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal,” katanya.

Satu lagi kawasan PKPD yang ditamatkan hari ini melibatkan Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) serta kuarters kakitangan di Taiping, Perak yang dijadualkan tamat pada 12 Januari 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 670 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 55 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun, 356 baki sampel saringan masih menunggu keputusan yang melibatkan tahanan di Pusat Transit Penerimaan (PTP) dan tidak melibatkan tahanan lama di blok penempatan serta kuarters kakitangan.

“Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD (KEMTA) beserta Kuarters pada 12 Januari 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, blok penempatan OKT di Pusat Transit Penerimaan (PTP) dilanjutkan pelaksanaan PKPD bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.

“Ia melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Taiping, Perak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette