Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 setalah setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes
positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, YDPA berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara.
Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan
sejak bulan Disember lalu.
Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah berpandangan penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ahmad Fadil, perkenan itu juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.
Tambah beliau, ia turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara dan berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut
Ahmad Fadil memberitahu, menurut statistik, lima belas hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
Katanya, di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.
“Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Fadil menegaskan bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan
Covid-19 di negara ini.
“Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.
Menurut Ahmad Fadil, Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan itu.
Tambahnya, baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu yang mana Malaysia mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.
Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.
“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri
dengan segera.
“Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast