Proklamasi Darurat beri kelebihan kepada pasukan keselamatan mengetatkan uandang-undang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Proklamasi Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memberi kelebihan kepada kerajaan dan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang secara lebih tegas dan menyeluruh.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi contoh, sebelum ini, kilang dan kelab malam yang melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya boleh dikenakan denda RM1,000.

“Sudah tentu jumlah denda itu kecil dan mereka boleh mengulangi lagi melakukan kesalahan. Kerajaan pula tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kadar denda kerana ini melanggar akta rang undang-undang itu.

“Oleh itu, dengan Proklamasi Darurat ini, pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk menaikkan kadar denda dan jumlah penjara.

“Begitu juga anggota tentera yang terlibat dengan operasi, mereka sebelum ini tidak ada kuasa menangkap tetapi dengan Proklamasi Darurat, mereka diberikan kuasa seperti polis,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun menyatakan, Proklamasi Darurat bukan diperkenan tanpa sebab sebaliknya YDPA bimbang dengan sitausi terkini pandemik Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob

Seri Paduka, katanya, tidak mahu merisikokan rakyat maka diperkenan pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos ini.

Mengenai kes tangkapan harian individu melanggar SOP PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 415 individu ditahan dengan 377 daripadanya dikenakan kompaun dan 38 direman.

Dalam Operasi Benteng di sempadan seluruh negara pula, seramai 47 pendatang asing tanpa izin ditahan, diikuti empat tekong dan lima penyeludup.

“Pihak berkuasa juga merampas sembilan kenderaan darat dipercayai digunakan tekong dan penyeludup untuk membawa masuk Pati terbabit.

Jelas beliau, dari Mac 2020 hingga semalam seramai 10,861 Pati, 854 tekong, 426 penyeludup ditahan, manakala 277 kapal atau bot dan 1,174 kenderaan darat dirampas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Explain sampai bersabun mulut pun bukan sesetengah org reti bahasa pakngah sabri oi. Jenis kepala taksub kat parti dan pemimpin lebih dr syg nyawa sendiri ni payah. Kalau pemimpin baik baik takpa. Ni moral out, kes mahkamah bersepah bak kata Sultan Nazrin.

Comments are closed.